Rabu, 31 Januari 2018 | 11:55pm

Tun M abai janji bangunkan Kampung Bharu

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa gagal menunaikan janjinya untuk membangunkan Kampung Bharu sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Datuk Affendi Zahari, berkata Dr Mahathir pernah menyatakan hasrat untuk membangunkan Kampung Bharu sekitar 1990-an, namun ia tidak pernah menjadi kenyataan.

"Semasa saya membesar di kawasan ini, Dr Mahathir pernah kata mahu bangunkan Kampung Bharu, tapi tidak ada apa pun, tak jadi.

"Keadaan itu berbeza dengan Perdana Menteri Keenam, (Datuk Seri Najib Razak). Dia meletakkan wang pada janjinya. Dia kata mahu lihat tempat ini maju, dan apabila mohon peruntukan (untuk pembangunan), dapat.

"Saya tidak mahu burukkan sesiapa. Dr Mahathir memang nak bangunkan Kampung Bharu, tapi 'ter' tak ada," katanya ditemui pada Majlis Perasmian Road To Agro Tourism 3 di Kampung Bharu di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan; Ahli Eksekutif Majlis Pelancongan Malaysia, Aminuddin Mohamad dan Pengarah Urusan Kumpulan Zikay, Datuk Mohd Khay Ibrahim.

Pada 2015, Najib menyatakan komitmen kerajaan untuk membangunkan Kampung Bharu, antaranya dengan cadangan pembinaan Pusat Bandar Kampung Baru (KBCC) sebagai 'core centre' kawasan itu, selain pusat kraftangan dan kesenian Melayu, pembinaan pintu gerbang yang menjadi identiti Kampung Bharu dan pelebaran laluan.

Najib turut merasmikan Program Pencahayaan Masjid Jamek Kampung Bharu bernilai kira-kira RM1.5 juta pada Julai 2016, yang mengangkat imej masjid itu menjadi bangunan ikonik dan tumpuan pelancong.

Affendi berkata, kerajaan pimpinan Najib sudah memperuntukkan lebih RM100 juta bagi pembangunan Kampung Bharu, sekali gus membuktikan Perdana Menteri serius dengan hasratnya untuk memajukan kawasan itu.

Katanya, antara perancangan pembangunan masa depan di Kampung Bharu termasuklah membina Saloma Link, iaitu laluan yang bakal menghubungkan kawasan itu dengan KLCC, selain mewujudkan tiga kampung warisan.

"Contoh lain adalah stesen MRT (Transit Aliran Massa). Asalnya, tidak masuk Kampung Bharu, namun kerajaan meluluskan permintaan saya untuk MRT masuk ke sini. Perubahan perancangan itu memerlukan peruntukan tambahan namun kerajaan tetap luluskan," katanya.

Mengulas mengenai program Road To Agro Tourism 3 yang memilih Kampung Bharu sebagai antara destinasi, Affendi yakin ia bakal membantu menambah jumlah pelancong dalam dan luar negara ke kawasan itu.

Sementara itu, Aminuddin berkata, Road To Agro Tourism 3 anjuran MTC dengan kerjasama PKB, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) dan Perbadanan Putrajaya (PPJ), bertujuan mempromosikan lokasi agropelancongan di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Katanya, program empat hari berakhir 3 Februari sempena Hari Wilayah Persekutuan itu membawa 50 pengamal media, blogger dan selebriti melawat ke beberapa kawasan agropelancongan di antara Kuala Lumpur dan Putrajaya.

97 dibaca
Berita Harian X