Khamis, 1 Februari 2018 | 5:00pm
KAKITANGAN Jabatan PERHILITAN memeriksa seekor tapir jantan seberat 250 Kilogram yang ditemui mati berkemungkinan dilanggar kenderaan yang melalui Jalan Budu-Dong, dekat Kampung Tualang Padang. - Foto Ihsan PERHILITAN
KAKITANGAN Jabatan PERHILITAN memeriksa seekor tapir jantan seberat 250 Kilogram yang ditemui mati berkemungkinan dilanggar kenderaan yang melalui Jalan Budu-Dong, dekat Kampung Tualang Padang. - Foto Ihsan PERHILITAN
KAKITANGAN Jabatan PERHILITAN membawa seekor tapir jantan seberat 250 Kilogram yang ditemui mati berkemungkinan dilanggar kenderaan yang melalui Jalan Budu-Dong, dekat Kampung Tualang Padang.
KAKITANGAN Jabatan PERHILITAN membawa seekor tapir jantan seberat 250 Kilogram yang ditemui mati berkemungkinan dilanggar kenderaan yang melalui Jalan Budu-Dong, dekat Kampung Tualang Padang.

Tapir jantan mati dilanggar

RAUB: Seekor tapir jantan dewasa ditemui mati dilanggar kenderaan yang melalui Jalan Budu-Dong, dekat Kampung Tualang Padang di sini, semalam.

Haiwan dikategorikan sebagai terancam itu, dianggarkan seberat 250 kilogram (kg) dan dipercayai melintas jalan sebelum dilanggar kenderaan terbabit.

Kejadian hanya disedari penduduk kampung kira-kira jam 1.50 tengah hari ketika melalui jalan berkenaan sebelum menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Difahamkan, jalan berkenaan jarang dilalui penduduk berikutan agak terpencil dan jauh daripada penempatan.

Tujuh kakitangan PERHILITAN dari Raub dan Lipis bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan pemeriksaan bangkai haiwan yang mempunyai nama saintifik Tapirus Indicus itu.

Pengarah PERHILITAN Pahang, Ahmad Azhar Mohammed, berkata berdasarkan pemeriksaan pihaknya, haiwan itu dipercayai dilanggar malam kelmarin atau awal pagi semalam.

Beliau berkata, tapir itu cedera pada muncung, kepala dan badan.

"Ia mungkin cuba menyeberangi jalan untuk mencari makanan sebelum dilanggar.

"Tiga kakitangan Pejabat PERHILITAN Raub dan empat kakitangan Pejabat PERHILITAN Kuala Lipis dihantar ke lokasi kejadian dan siasatan mendapati haiwan berkenaan mati dilanggar kenderaan.

"Tapir dewasa ini dianggar berusia antara 15 hingga 18 tahun manakala ketika ditemui, ia cukup sifat dan tiada bahagian badan yang dipotong.

"Sebelum ini, ada beberapa kes bahagian badan tapir seperti lidah, ekor dan telinga dipotong oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ahmad Azhar berkata, bangkai tapir itu dilupuskan dengan kaedah ditanam.

"Lokasi kejadian yang agak tersorok menyebabkan bangkai berkenaan 'terselamat' daripada dipotong individu tidak bertanggungjawab yang mencuri organ dalaman haiwan itu," katanya.

INFO

* Dianggarkan antara 1,100 hingga 1,500 tapir masih menghuni hutan di Semenanjung termasuk di kawasan perlindungan seperti Taman Negara dan rizab hidupan liar.

* Tapir dikategori sebagai spesies dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

* Ogos tahun lalu, sepasang tapir masing-masing berusia antara lapan dan 10 tahun ditemui mati selepas dilanggar kenderaan ketika melintas di Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan berhampiran Gebeng, Kuantan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X