Sabtu, 3 Februari 2018 | 1:58pm

GegaRia platform anak muda dalami dunia digital

Johor Bahru: Festival GegaRia anjuran Media Prima Berhad mampu menjadi platform anak muda mendalami dunia digital terutama sukan digital (e-Sport).

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata keunikan serta kelainan Festival GegaRia itu seharusnya dijenamakan supaya dapat diperluaskan di seluruh negara.

Katanya, kerajaan sentiasa memberi sokongan kepada pembabitan pihak swasta menganjurkan program yang memberi manfaat kepada masyarakat.

"Saya lihat penganjuran program seperti ini amat baik dan tersusun sekali malah membuktikan kerajaan berjaya mewujudkan persekitaran stabil sehingga ramai pengunjung hadir hari ini.

"Saya cukup tertarik menyaksikan kelainan pengisian Festival GegaRia ini yang banyak memperkenalkan benda baharu terutamanya ruangan digital termasuk sukan serta permainan digital yang menarik minat golongan muda.

"Ini sejajar dengan hasrat kerajaan yang mahu menekankan aspek digital dalam masyarakat pada masa depan.

"Pada saya, anak muda harus diberi peluang lebih luas terbabit aktif dalam program yang berunsur digital sebegini supaya bakat dan kemahiran mereka dalam dunia digital dapat dipupuk malah program ini seharusnya diperluaskan ke seluruh negara," katanya pada sidang media selepas membuat tinjauan di Festival GegaRia di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd, Tan Sri Ismee Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks, Johan Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press Malaysia Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid dan Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib.

Antara aktiviti yang diadakan pada festival bermula jam 8 pagi hingga 11 malam termasuk sukan rakyat, Zon Throwback Tunnel #Gegaria, aktiviti permainan buih gergasi, tutorial mekap, demonstrasi masakan, persembahan artis serta jualan makanan dan minuman.

Kemuncak program malam ini akan menyaksikan persembahan menarik artis tempatan seperti Plague of Happiness, Priscilla Abby, De Fam, Noh Salleh, Akim & The Majistret, Masdo dan Bunkface.

Festival GegaRia menampilkan lima zon kontena iaitu Zon Makan-Makan #Gegaria, Zon Throwback Tunnel #Gegaria, Zon Gaya Hidup #Gegaria, Zon Komuniti #Gegaria, dan Zon Hiburan #Gegaria.

SALLEH melihat peserta pertandingan permainan elektronik tapak Festival GegaRia Edisi Kedua anjuran Media Prima Berhad di padang A, Angsana Johor Bahru Mall. Turut hadir, Ismee (kanan), Abdul Jalil (dua dari kanan) dan Pengurus Besar Kanan Kumpulan Media Prima Labs dan Operasi, Nicholas Sagau (tiga dari kanan). - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X