Sabtu, 3 Februari 2018 | 5:22pm
PENGERUSI Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Seri Ahmad Hamzah merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Jasin Berhad, di Kampung Permatang Tulang, Sungai Rambai, Jasin. - Foto Amir Mamat

Minyak sawit: MPOB gembira keputusan China

Jasin: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menyambut baik langkah China yang tidak akan mengenakan sekatan ke atas minyak sawit ke negara berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata ini kerana langkah terbabit dapat meningkatkan lagi jumlah eksport komoditi berkenaan ke republik itu, sekali gus memberi peluang lebih besar kepada industri sawit Malaysia untuk berkembang.

"China adalah pembeli ketiga terbesar minyak sawit kita selepas India dan Kesatuan Eropah (EU). Tahun lalu, kita mengeksport sebanyak 2.02 juta tan ke India, diikuti 1.99 juta tan (EU) dan 1.92 juta tan (China).

"Namun, berdasarkan kenyataan dari Duta Besar China ke Malaysia, semalam (kelmarin), saya tidak terkejut bahawa China akan mengatasi pembeli minyak sawit lain dalam masa yang singkat.

"Ini terbukti bahawa China memberikan sokongan padu kepada penghasilan kelapa sawit mampan di Malaysia dan tidak akan mengenakan apa-apa sekatan seperti yang bakal dibuat oleh EU," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jasin, ditemui selepas merasmikan Pusat Timbang Koperasi Penanam Sawit Mampan Daerah Jasin Berhad, di Kampung Permatang Tulang, Sungai Rambai, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Kushairi Din.

Beliau mengulas kenyataan Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian bahawa negara itu tidak akan mengenakan sebarang sekatan ke atas minyak sawit Malaysia dan produk berasaskannya, sebaliknya, China akan mengimport lebih banyak produk utama seperti minyak sawit dan produk berasaskan getah dari Malaysia pada masa depan.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, beliau gembira apabila Menteri Pertahanan Perancis, Florence Parly turut mengesahkan negara berkenaan tidak pernah berhasrat untuk memboikot minyak sawit dari Malaysia.

"Perancis menyuarakan untuk tidak akan bersama-sama dengan keputusan yang dibuat oleh Parlimen EU untuk menyekat kemasukan minyak sawit Malaysia mulai tahun 2021 dan saya tidak menolak kemungkinan beberapa lagi negara akan mengikut langkah berkenaan menjelang tahun pelaksanaan terbabit," katanya.

Baru-baru ini, Perancis menyatakan tidak akan mendiskriminasi minyak kelapa sawit Malaysia ketika blok EU mengenakan larangan import komoditi itu kepasaran Eropah menjelang 2021.

Parly, dalam satu kenyataan berkata, sebagai antara negara pengasas EU dan rakan kepada Malaysia, Perancis mempunyai pendirian tersendiri berhubung isu itu kerana kerajaan negara itu amat memahami kepentingan industri minyak kelapa sawit kepada ekonomi Malaysia.

Berita Harian X