Selasa, 6 Februari 2018 | 3:08pm
AISYAH bersama kanak-kanak tempatan di Mlalo. - Foto Ihsan Mycorps Afrika
AISYAH Farhanah Mohamed (kanan duduk), 29, bersama dengan penduduk tempatan di Mlalo di sini. Sukarelawan Msia akan membina sistem bekalan air bersih "MAJIK" termasuk dua telaga tiub untuk lebih 11,300 penduduk sekitar Mlalo. - Foto Ihsan Mycorps Afrika

6 km angkut sebaldi air di Mlalo, Tanzania

KUALA LUMPUR: Separuh dari masa harian penduduk di Mlalo, pedalaman berbukit dan bergunung di Tanga, Tanzania, dihabiskan untuk mengangkat air.

Tugasan itu pula diletakkan di bahu perempuan, dari kanak-kanak hinggalah ke usia wanita, yang perlu berjalan kaki mendaki dan menuruni bukit sehingga enam kilometer, mengangkut air untuk kegunaan harian.

Terkesan dengan situasi itu enam sukarelawan Mycorps Afrika yang ditempatkan di kawasan itu sejak awal Januari lalu membuat keputusan untuk melaksanakan projek bekalan air "MAJIK" untuk membaiki kepayahan hidup penduduk Mlalo.

Sukarelawan Mycorps Afrika di Mlalo, Aisyah Farhanah Mohamed, berkata melalui 'country project' itu mereka akan membina sistem bekalan air graviti dan dua telaga tiub di tiga kampung terpilih.

Aisyah, 29, berkata projek yang dijalankan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan memberi manfaat kepada lebih 11,300 penduduk itu, dirangka untuk disiapkan dalam tempoh sebulan.

"Ideanya ialah meningkatkan akses penduduk kepada bekalan air selain menjimatkan masa.

"Di sini, tugas ambil dan angkut air sampai dua hingga enam kilometer (setiap baldi) ialah tugas wanita pelbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak.

"Separuh dari masa harian mereka dihabiskan untuk mengangkut air sedangkan masa itu boleh digunakan untuk belajar dan kerja lain yang lebih bermanfaat," katanya ketika dihubungi BH dari Mlalo.

Lebih 50 peratus dari populasi Tanzania tidak mempunyai akses kepada bekalan air bersih dan seperti di negara Afrika lain. Kelibat manusia berkongsi sumber air sama dengan haiwan adalah kelaziman.

Aisyah yang juga bekas pegawai komuniti sebelum menyertai Mycorps, program pembangunan sukarelawan di bawah Kementerian Belia dan Sukan berkata, pengalaman di Mlalo membuatnya bersyukur dilahirkan dan membesar sebagai wanita di Malaysia.

"Di sini, kami lihat wanita yang buat semuanya dari potong kayu, ambil air, memasak, mencuci, bercucuk tanam dan berjual-beli di sokoni (pasar), sehinggakan kami tertanya-tanya jika mereka ada masa berehat.

"Tentulah jaga anak-anak pun tugas mereka. Jadi, kalau ada 'water station' MAJIK yang akan dilengkapi dengan kemudahan lain, sekurang-kurangnya pengalaman kerja harian mereka jadi lebih bermakna," kata sukarelawan Mycorps Afrika itu. 

Mereka ingin mengikuti perkembangan 46 sukarelawan Mycorps di Afrika dan menyumbang dana boleh melakukannya dengan melayari laman Facebook Mycorps.

Berita Harian X