Sabtu, 17 Februari 2018 | 4:59pm
NAJIB bersalaman bersama orang ramai ketika hadir pada Majlis Perasmian Karnival Go I Am Usahawan 4.0 Langkawi di tapak parkir Kompleks LADA, Langkawi. - Foto Azhar Ramli

Manfaatkan teknologi digital

LANGKAWI: Usahawan muda perlu memanfaatkan kemajuan teknologi digital bagi mengembangkan perniagaan mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata dengan kepesatan era teknologi digital, rakyat di negeri itu tidak harus ketinggalan dalam menikmati kemudahan disediakan kerajaan.

"Kemajuan yang ada juga dapat membuka peluang kepada usahawan muda untuk membuka minda serta pendedahan berguna kepada perniagaan mereka supaya lebih inovatif.

"Malah, kemajuan teknologi digital juga dapat memajukan negara setanding negara maju dengan syarat usaha yang dilakukan mendapat kekuatan dan kerjasama semua pihak di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Program GO 4.0 Langkawi 2018 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dataran Parkir, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Kuah di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem serta Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kedah, Zuhaizar Abdul Karim.

Ahmad Bashah berkata, tujuan GO 4.0 dianjurkan bagi meningkatkan kesedaran dan mendidik usahawan dan semua pihak mengenai cabaran dan peluang yang dibawa oleh Revolusi Perindustrian (Industri 4.0) dalam menjana ekonomi melalui platform digital yang lebih berdaya saing.

Berita Harian X