Isnin, 19 Februari 2018 | 4:17pm
SULTAN Ibrahim berkenan menerima mengadap dan bergambar bersama Ab Rauf (dua dari kiri) selepas mempersembahkan surat jemputan Program Malaysia Bike Week 2018 yang dijadualkan berlangsung pada 23 hingga 25 Mac 2018 di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru. - Foto Ihsan Royal Press Office

Sultan Johor berkenan pamer koleksi Harley-Davidson

JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mempamerkan koleksi motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson milik baginda pada Minggu Permotoran Malaysia 2018 (MBW 2018) yang dijadualkan berlangsung bulan depan.

Dalam kiriman terbaharu Facebook rasmi baginda, pameran berkenaan akan diadakan di program jambori permotoran terbesar yang julung kali diadakan di negara pada 23 hingga 25 Mac di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.

MBW 2018 dijangka menarik kehadiran 100,000 peserta termasuk dari luar negara.

Menurut kenyataan itu lagi, Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap Presiden Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di Istana Pasir Pelangi, di sini.

Dalam pertemuan selama hampir 30 minit itu, Ab Rauf turut mempersembahkan surat jemputan kepada Sultan Ibrahim sempena penganjuran program berkenaan.

Sultan Johor sememangnya mahir mengendalikan motosikal berkuasa tinggi, malah baginda pernah beberapa kali menunggang Harley-Davidson bercorak harimau dalam siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ).

Program MBW 2018 bakal menghimpunkan penunggang motosikal pelbagai kategori dan jenama iaitu Superbike, Easy Rider, kapcai, klasik, Vespa dan Lady Bikes.

33 dibaca
Berita Harian X