Rabu, 21 Februari 2018 | 5:52pm
PROFESOR Datuk Dr Noriah Mohd Ishak (tengah) bergambar bersama pelajar Permata Pintar pada Program Hari Kerjaya Permata Pintar Negara 2018 di Pusat Permata Pintar UKM Bangi. - Foto Luqman Hakim Zubir

95 peratus pelajar Permatapintar ikuti pengajian STEM

BANGI: Seramai 579 pelajar dari Pusat Permatapintar Negara berjaya melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah di universiti terkemuka dalam dan luar negara.

Pengarah Kolej Permatapintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak, berkata daripada jumlah itu sebanyak 95 peratus pelajar mengikuti pengajian dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Katanya, sejak penubuhan Pusat Permatapintar pada tahun 2012, setiap tahun pusat ini berjaya menghasilkan seramai 60 hingga 120 pelajar untuk melanjutkan pengajian di universiti tempatan dan luar negara.

"Visi dan misi kami adalah untuk memberi inspirasi kepada pelajar mengikuti bidang STEM serta menghasilkan saintis pada masa hadapan untuk memenuhi keperluan Industri Revolusi 4.0.

"Kami akan mendidik pelajar ini untuk berfikir sebagai seorang saintis walaupun pada masa hadapan mereka mengikuti bidang lain selain STEM. Sekurang-kurangnya pelajar ini berkemampuan untuk berfikir secara analitik," katanya.

Beliau ditemui selepas Program Hari Kerjaya Pusat Permatapintar Negara 2018, di sini, hari ini.

Program yang berlangsung kali keempat itu disertai lapan badan korporat termasuk universiti swasta untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peluang pekerjaan dan keperluan industri pada masa hadapan.

Noriah berkata, penekanan kepada pemilihan bidang STEM kepada pelajar ini juga bertujuan untuk membantu mengatasi kekurangan pelajar yang berminat dalam bidang STEM.

"Dalam masa yang sama, kita juga tidak melupakan dalam bidang sosiosains seperti kejuruteraan, undang-undang dan sebagainya kerana ramai juga pelajar yang menunjukkan minat," katanya.

Berita Harian X