Selasa, 27 Februari 2018 | 6:31pm
KOC wanita Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang dikhaskan untuk wanita sahaja. - Foto NSTP

KTMB, SPAD tangani isu ceroboh koc wanita

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mengatasi isu pencerobohan di dalam gerabak koc wanita.

Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata operasi penguatkuasaan dan kempen kesedaran koc wanita dengan kerjasama Polis Bantuan KTMB dan SPAD dijalankan sejak semalam bagi membanteras isu pencerobohan koc wanita.

"KTMB dengan kerjasama SPAD kini sedang meneliti semua tatacara pengoperasian koc wanita bagi menjamin dan memastikan koc ini digunakan khas untuk wanita saja.

"Saya menyeru orang ramai untuk membantu dan menyokong KTMB dengan memperingati antara satu sama lain berhubung kepentingan dan sensitiviti koc khas berkenaan untuk keselesaan bersama," katanya.

Sebelum ini ,seorang wanita turut meluahkan kekecewaannya melalui laman sosial Facebook apabila terdapat penumpang lelaki menceroboh koc wanita pada 16 Februari lalu.

Ketika kejadian, Wan Amiasyazlia Meor, 25, dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menaiki komuter dari stesen KTM Shah Alam ke Rawang, Selangor.

"Saya sudah menaiki KTM sejak zaman sekolah lagi dan kejadian sebegini sudah beberapa kali terjadi, cuma kali ini penumpang lelaki itu terlalu degil dan tidak tahu malu.

"Saya mula panas hati kerana seorang wanita yang berdiri sukar untuk menyusukan bayinya," katanya.

Beliau berkata, setiba di stesen Subang Jaya, beliau mula bersuara kerana semakin ramai penumpang lelaki yang memasuki bahagian koc wanita.

"Saya cuba menegur mereka dengan cara baik tetapi dibalas dengan kata-kata kesat.

"Paling kecewa apabila hanya saya seorang yang tampil untuk mempertahankan hak koc wanita berkenaan. Tiada sesiapa yang berani untuk bersuara dan menolong saya," katanya.

Berita Harian X