Rabu, 28 Februari 2018 | 5:01pm
TIMBALAN Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Izhar Abu Talib (tiga dari kiri) menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan diiringi Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri, Mohamad Yusuf Kameh (kiri) bersama Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari (kanan) dan Pengetua Sekolah, Yusof Othman (dua dari kiri) pada majlis pelancaran Hari Antidadah Peringkat Negeri Melaka 2018 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Jalan Sungai Putat, Batu Berendam. - Foto Rasul Azli Samad

Jumlah pelajar ketagih dadah bertambah

MELAKA: Seramai 1,750 pelajar didapati positif dadah tahun lalu hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) ke atas 36,876 pelajar di seluruh negara.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Izhar Abu Talib, berkata angka itu menunjukkan jumlah pelajar positif dadah meningkat kepada lima peratus tahun lalu, berbanding 2016 hanya 3.8 peratus.

Mengikut negeri, katanya, Sarawak mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 290 daripada 3,278 pelajar yang disaring tahun lalu, berbanding 154 daripada 2,463 pelajar pada tahun sebelumnya.

Katanya, Kelantan berada di tempat kedua dengan jumlah 279 daripada 2,787 pelajar pada tahun lalu, berbanding 123 daripada 2,286 pelajar pada tahun sebelumnya.

"Dadah jenis methapetamine pula menjadi dadah pilihan utama kerana mudah disimpan dan digunakan pelajar, selain harganya antara RM10 hingga RM15.

"Walaupun tiada pengambilan dadah jenis baharu dikesan sepanjang ujian itu, pengambilan air ketum turut dikesan digunakan pelajar dan mereka yang gagal (ujian saringan) diserahkan kepada pihak sekolah untuk sesi kaunseling," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Hari Antidadah Peringkat Sekolah 2018 di Sekolah Menengah Munsyi Abdullah, Batu Berendam, semalam.

Yang turut hadir, Pengarah Pendidikan negeri, Abu Bakar Sahari dan Pengarah AADK negeri, Mohamad Yusuf Kameh.

Izhar berkata, pihaknya sedang meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bagi membendung isu berkenaan kerana aliran penagihan dadah membimbangkan.

"Kerjasama yang akan dilaksanakan termasuk berkongsi kepakaran dan melatih guru kaunselor dengan kemahiran dalam pendidikan pencegahan dadah terhadap pelajar," katanya.

Berita Harian X