Sabtu, 3 March 2018 | 8:34pm
DR Hilmi dalam sidang media semasa hadir majlis Pelancaran Projek Perumahan Sejahtera Rakyat (PPSR) di Kuala Sungai Pinang, Daerah Barat Daya, Balik Pulau, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Siasat punca keracunan kakitangan HTAR

BALIK PULAU: Kementerian Kesihatan akan mengambil tindakan tegas, termasuk menyenarai hitam syarikat katering yang menyebabkan 76 kakitangan Jabatan Anestesiologi Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) mengalami keracunan makanan, Khamis lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata pihaknya kini masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

"Kita akan ambil tindakan jika terbukti keracunan makanan itu berpunca daripada syarikat katering berkenaan.

"Setakat ini, kita masih jalankan siasatan serta mengumpul segala bukti, termasuk menghantar sampel makanan yang dipercayai tercemar itu untuk dianalisis," katanya pada Majlis Pelancaran Projek Perumahan Sejahtera Rakyat (PPSR) Kuala Sungai Pinang, di sini, hari ini.

Dalam insiden 28 Februari lalu itu, kakitangan HTAR terbabit mengalami keracunan makanan selepas menikmati hidangan pada mesyuarat jabatan.

Siasatan awal mendapati keracunan dipercayai berpunca daripada makanan yang disediakan katerer swasta dari luar hospital.

Dr Hilmi berkata, setakat ini semua kakitangan terbabit sudah pulih dan tiada kes baharu dilaporkan.

Berita Harian X