Isnin, 5 March 2018 | 4:25pm
MENTERI Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan merasmikan Sekolah Kebangsaan (SK) Warisan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Warisan di Seremban, hari ini. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Jangan jadikan murid tikus makmal - Mohamad Hasan

SEREMBAN: "Jangan jadikan anak kita tikus makmal," kata Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, mengenai cadangan memperkenalkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Beliau berkata, cadangan itu yang disuarakan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini, seolah-olah memperjudikan masa depan generasi muda.

"Sistem PPSMI terbukti gagal dengan banyak masalah timbul sepanjang pelaksanaannya sebelum ini. Mengapa kita mahu kembali menggunakan sistem yang ternyata tidak berkesan dan mengujinya sekali lagi terhadap anak-anak kita?

"Saya bertemu Pengarah Urusan UNESCO beberapa tahun lalu dan beliau terkejut dengan pelaksanaan PPSMI di negara kita. Katanya, Malaysia adalah satu-satunya negara yang mengajar Matematik dan Sains menggunakan Bahasa Inggeris yang bukan bahasa ibunda," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sekolah Kebangsaan (SK) Warisan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Warisan di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Abu Ubaidah Redza dan Pengarah JPN Negeri Sembilan, Pkhairuddin Ghazali.

Mohamad berkata, walaupun kepentingan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa tidak dapat dinafikan, tiada keperluan mewajibkan murid belajar Sains dan Matematik menggunakan bahasa berkenaan.

"Bagi saya, dua subjek itu (Sains dan Matematik) sudah cukup sukar, menambah Bahasa Inggeris untuk dijadikan bahasa pengantar dalam pengajaran dan pembelajaran tidak membantu pelajar memahami subjek itu dengan lebih baik.

"Guru juga memerlukan bantuan bagi meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris bagi memastikan mereka benar-benar mampu mengajar dalam bahasa itu," katanya.

Semalam, Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyuarakan bantahan terhadap cadangan berkenaan yang disuarakan Dr Mahathir.

Berita Harian X