Rabu, 7 March 2018 | 6:38pm
Naib Presiden AMANAH, Husam Musa pada sidang media yang diadakan di Wisma Amanah Negara. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PAN fokus menang di kerusi kubu kuat PAS

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (PAN) akan memberi fokus untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi kubu kuat PAS di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Naib Presidennya, Husam Musa, berkata tumpuan PAN Kelantan pada PRU-14 bukan kerusi marginal, sebaliknya mencari kemenangan di kawasan kubu kuat PAS, sekali gus memikul tanggungjawab berat untuk dilaksanakan.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan berkata, antara kubu kuat adalah DUN Pasir Pekan, Meranti dan Panchor, malah Kelantan lebih istimewa kerana dikuasai PAS, sekali gus menjadikan PAN diberi peluang mendahului rakan pembangkang lain.

"Kerusi yang PAN bertanding juga atas kerelaan sendiri yang mana ia kerusi PAS mendapat kemenangan majoriti besar.

"Kita tak bertanding di kerusi majoriti kecil kerana memang konsep dari awal lagi untuk Kelantan, PAN perlu menandingi PAS di kerusi majoriti besar. Sama ada berjaya atau tidak, itu terserah, " katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ditanya jumlah pembahagian kerusi DUN dan Parlimen milik PAN yang sedikit berbanding rakan sekutu lain seperti DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Husam berkata, PAN tidak seperti PAS yang melihat jumlah kerusi untuk ditandingi.

"Kita tak sama dengan PAS yang suka kerusi banyak. Dia bertanding sampai 130 (kerusi), nak menang 120 seperti yang Ustaz Hadi (Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang) kata.

"Kita cari kerusi boleh menang dan kemenangan secara berpasukan. Jika pasukan menang, kita jadi satu kerajaan. Kita tak perlu tamak.

"Macam DAP dapat 35 kerusi, dia menang hampir semua, jadi (mana bagus) kalau dapat banyak menang separuh, dengan dapat separuh menang semua," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAN, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, parti serpihan PAS itu menyasarkan sekurang-kurangnya 100 kerusi DUN di Semenanjung dan Sabah.

Bagi kerusi Parlimen di Semenanjung, PAN memperoleh 27 kerusi, manakala PPBM bertanding di 52 kerusi, diikuti PKR (51) dan DAP (35).

Berita Harian X