Jumaat, 9 March 2018 | 2:14pm
KETUA Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman berucap pada Majlis Perasmian Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) JPA Outreach Programme 2018 (Zon Timur) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan. - Foto Muhammad Asyraf Sawal
SEBAHAGIAN peserta yang hadir pada Majlis Perasmian Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) JPA Outreach Programme 2018 (Zon Timur) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC), Kuantan. - Foto Muhammad Asyraf Sawal

Tiada masalah untuk bercuti - JPA

KUANTAN: Penjawat awam bebas mengambil cuti tahunan atau ke luar negara susulan tiada arahan pembekuan cuti dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkaitan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman, berkata mereka yang terbabit secara langsung dengan PRU-14 seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertakluk kepada organisasi untuk permohonan cuti.

"Kita tidak keluarkan arahan khusus membekukan cuti semua kakitangan awam tetapi kalau yang terbabit dengan pilihan raya, sudah tentu mereka akan sibuk dan tidak mungkin mereka akan cuti atau dibenarkan bercuti termasuk ke luar negara.

"Jabatan atau agensi awam lain boleh bercuti seperti biasa dan segala urusan itu atas budi bicara ketua masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Program Jangkauan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Zon Timur 2018, di sini hari ini.

Zainal Rahim berkata, pihaknya tidak mempunyai sebab menghalang 1.6 juta kakitangan awam di seluruh negara bercuti disebabkan PRU-14 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, seramai 800,000 pesara sektor awam kini boleh dikesan dan dihubungi menerusi aplikasi 1PesaraFindMe.

Katanya, aplikasi yang dibangunkan secara jaringan pangkalan dalam talian itu membolehkan pihaknya terus berhubung dengan pesara kerajaan terutama dalam mendapatkan maklum balas mengenai kehidupan selepas tamat perkhidmatan.

"Aplikasi ini boleh diakses menggunakan telefon pintar, malah maklumat seperti nombor telefon dan alamat pesara boleh diperoleh bagi memudahkan perhubungan pada masa depan," katanya.

Zainal Rahim berkata, aplikasi 1PesaraFindMe memudahkan kerajaan menghubungi pesara dengan pantas jika diminta menyertai program dianjurkan kerajaan.

Sebelum ini, katanya, inisiatif 1Pesara diperkenalkan pada 2014 menerusi kolaborasi empat agensi iaitu JPA, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Sumber Manusia sebagai pengurusan pesara kerajaan dengan lebih sistematik.

Berita Harian X