Sabtu, 10 March 2018 | 4:46pm
ISTERI Perdana Menteri dan Penaung Persekutuan Wanita untuk Dunia Damai Malaysia, ucapan Datin Seri Rosmah Mansor semasa Persidangan Kepimpinan Keupayaan Pelajar 2018 di UPM, Serdang.- Foto ROSELA ISMAIL

Netizen muda perlu tahu beza fakta, pembohongan - Rosmah

SERDANG: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, meminta belia negara ini berusaha menjadi pengguna internet atau netizen yang lebih bertanggungjawab, tahu membezakan di antara fakta dan pembohongan yang disebarkan menerusi media sosial.

Beliau berkata, belia perlu disemai etika siber untuk membantu mereka mengesan dan mengelakkan buli serta gangguan jenayah siber.

Katanya, kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi zaman ini turut mengubah kehidupan dan gaya masyarakat yang menjurus kepada perkhidmatan atas talian.

"Akibatnya, wujud cabaran yang perlu ditangkis belia apabila membabitkan ancaman keselamatan, perlindungan, keamanan dan keharmonian negara.

"Ruang siber mampu menjadikan dunia hari ini berpecah belah, tidak aman dan kurang selamat bagi generasi sekarang dan akan datang," katanya ketika merasmikan Persidangan Kepemimpinan Pelajar untuk Keamanan yang bertemakan "Pembinaan Negara Melalui Budaya Hati" di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Rosmah turut menyuarakan rasa kecewanya apabila berita palsu mengenainya, viral di media sosial, selain menyelar sikap masyarakat yang mudah berkongsi berita tanpa merujuk perkara sebenar.

Katanya, maklumat yang salah di internet dan kebanjiran di media sosial, mudah mempengaruhi serta membentuk pemikiran dan tingkah laku belia.

"Hanya dengan satu butang, hampir semua lapisan masyarakat mampu mengakses kandungan berkenaan tanpa memikirkan akibatnya.

"Maklumat dan berita palsu ini sukar diperbetulkan sebaik saja ia terpapar di media sosial. Kandungan berbahaya itu boleh mengganggu kestabilan ekonomi dan menjejaskan keamanan dan keharmonian negara," katanya.

Rosmah menyifatkan inisiatif seperti kempen Cybersafe dengan pembabitan aktif belia harus dijalankan secara kerjasama membabitkan sektor awam, swasta dan orang ramai.

Katanya, kempen sedemikian boleh meningkatkan kesedaran mengenai ancaman siber, selain membekalkan pengetahuan serta kemahiran kepada belia untuk memastikan mereka selamat dalam talian, sekali gus menggunakan media sosial secara positif dan produktif.

"Peranan 13.5 juta belia di negara ini tidak boleh diketepikan dalam keadaan dunia yang semakin mengalami ketegangan, keganasan, ketidakadilan, kemerosotan toleransi dan kekurangan sifat menghormati hak asasi manusia," katanya.

Berita Harian X