Isnin, 12 March 2018 | 3:14pm

UDA serah zakat kepada MPB-NSTP Humanitarian Fund

KUALA LUMPUR: UDA Holdings Berhad menyumbangkan zakat setiap tahun kepada golongan memerlukan dan tahun ini syarikat itu menyerahkan zakat sebanyak RM30,000 kepada Media Prima Berhad (MPB) - New Straits Times Press (NSTP) Humanitarian Fund (Bersamamu) untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang layak menerima. 

Sumbangan disampaikan Pengerusi UDA, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah kepada Ketua Pegawai  Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar, di Kompleks Yayasan Wangsa Perdana, Taman Ibu Kota, di sini, pagi tadi. 

Tabung Kemanusiaan MBP- NSTP Humanitarian Fund (Bersamamu) diwujudkan bagi memberi bantuan kewangan kepada rakyat Malaysia yang memerlukan khususnya, selain tabung itu turut menyalurkan sumbangan kepada golongan memerlukan menerusi program Bersamamu.  

Ahmad Izham berkata,  Bersamamu akan mengagihkan sumbangan zakat itu kepada mana-mana golongan lapan asnaf yang berhak menerimanya.    

"Sumbangan yang disalurkan ke dalam tabung kemanusiaan itu turut diberikan kepada mangsa bencana alam seperti banjir," katanya.    

Sementara itu, Mohd Shafei berkata, menjadi tanggungjawab UDA untuk mengeluarkan zakat perniagaan setiap tahun yang berjumlah RM100,000 hingga RM200,000 secara pukal dan juga kepada individu.   

"Kebiasaannya UDA akan menyerahkan sumbangan kepada  wakil daerah atau negeri terpilih dan mereka akan mengagihkannya kepada asnaf terpilih.   

"Tetapi pada tahun ini, sumbangan secara pukal diserahkan kepada  Tabung Kemanusiaan MPB-NSTP dan asnaf di sekitar Kuala Lumpur yang tergolong dalam kumpulan miskin bandar," katanya.  

Selain itu, beliau berkata, sepanjang tahun ini, UDA memperkenalkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) terbaru iaitu 'Project RE' (React, Rebuild, Reenergize).

"Program ini dilakukan dengan kerjasama anak syarikat kami iaitu UDA Land North, UDA Land South, UDA Land East dan UDA Land Central di serata Semenanjung.

"Matlamat utama penganjuran program CSR ini untuk memfokuskan pada kemampanan bagi dua tunggak iaitu komuniti dan alam sekitar," katanya.

Mohd Shafei berkata, baru-baru ini, UDA melancarkan projek CSR RE di Madrasah Tahfiz Penanti di Bukit Mertajam, Pulau Pinang bersama UDA Land North Sdn Bhd dan Dayaurus Sdn Bhd.

"UDA memperuntukkan RM30,000 untuk membersihkan dan menambah baik kawasan serta bangunan madrasah berkenaan," katanya.

11 dibaca
DATUK Mohd Shafei Abdullah menyerahkan sumbangan "MPB- NST Humanitarian Fund" kepada Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar (kiri) di Kompleks Yayasan Wangsa Perdana. - Foto Sairien Nafis
Berita Harian X