Khamis, 15 March 2018 | 4:48pm

Pusat PERMATApintar Negara gilap intelektual kanak-kanak Malaysia

BANGI: Hampir 6,000 murid berusia lapan hingga 15 tahun mendapat manfaat menerusi pelbagai aktiviti dan program pendidikan oleh Pusat PERMATApintar Negara (PPpN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pengarah Kolej PERMATApintar Negara, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak, berkata terbaharu ialah kemasukan pelajar pintar, Izz Imil Shahrom, 6, awal tahun ini.

Katanya, kebolehan luar biasa tahap kecerdasan intelektual (IQ) dalam menyelesaikan masalah Matematik dan Kimia menjadikan kanak-kanak itu layak mengikuti pengajian di Kolej PERMATApintar selepas menjalani beberapa ujian.

"Sebenarnya, tidak mustahil terdapat ramai lagi kanak-kanak istimewa seperti ini, namun ibu bapa tidak tahu bagaimana untuk mengetengahkan kelebihan dimiliki.

"Seperti ibu bapa Izz Imil ini, mereka mengambil pendekatan dengan bertanya adakah terdapat program yang sesuai untuk diikuti anaknya, jika tidak mereka ingin berpindah ke Amerika Syarikat.

"Selepas berbincang dan melakukan proses ujian standard untuk kemasukan ke sini, anaknya layak.

"Jika tidak, kita pasti terlepas satu permata negara yang berharga ini," katanya, di sini, hari ini.

Sebelum itu, Penaung PERMATA, Datin Seri Rosmah Mansor, bertemu dengan kanak-kanak berkenaan untuk meninjau perkembangan, proses pembelajaran serta hubungan dengan rakan-rakan berlainan usia.

Noriah berkata, PPpN juga sentiasa komited membuka lebih banyak peluang kepada ibu bapa yang memiliki anak IQ tinggi untuk belajar di sini.

"Selain menjalani proses pembelajaran, pelajar di sini turut melalui program pembelajaran berdikari untuk memastikan mereka berkeyakinan selain dapat menumpukan kepada bidang diminati.

Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, Imil Shahrom Abdul Ghani, berkata walaupun anaknya belajar di PPpN, beliau tetap melakukan aktiviti harian seperti kanak-kanak biasa.

"Saya tetap menghantar Izz ke kelas mengaji (al-Quran), piano dan berkawan dengan kanak-kanak sebaya dengannya. Biarpun di Kolej Permata ini, semuanya tidak sebaya, tetapi dia boleh menerimanya," katanya.

PENGARAH Kolej PERMATApintar Negara, Prof Datuk Dr Noriah Mohd Ishak. - Foto Saifullizan Tamadi
Berita Harian X