Khamis, 15 March 2018 | 7:19pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto Amran Hamid

Rawatan terbuka dorong penagih pulih diri secara sukarela - TPM

AYER KEROH: Rawatan Akses Terbuka (Open Access Treatment) yang diperkenalkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) adalah langkah proaktif bagi membolehkan Orang Kena Pengawasan (OKP) mendapatkan khidmat rawatan secara sukarela, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, transformasi yang dilaksanakan itu membolehkan OKP tidak lagi terikat dari segi perundangan melalui Klinik Cure & Care 1Malaysia, Cure & Care Service Centre dan Caring Community House.

"Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) di dalam laporannya menganggarkan ada sekitar 210 juta orang menggunakan dadah terlarang setiap tahun. Daripada jumlah itu, sejumlah 200,000 berada di ambang kematian.

"Statistik AADK menunjukkan 18,440 kes berulang dicatatkan pada tahun 2017 di negara ini. Namun, kerajaan tidak pernah berputus asa dan akan terus mencari penyelesaian menjamin pemulihan kekal dan berkesan," katanya pada Program Jalinan Budi AADK di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, petang tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Wira Othman Muhamad; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Datuk Izhar Abu Talib dan Pengarah AADK negeri, Yusof Kameh.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata undang-undang ketat tidak cukup untuk membasmi permasalahan dadah di negara ini, sebaliknya mahu memperkasakan tiga strategi iaitu rawatan, perubatan dan pemulihan, pencegahan serta penguatkuasaan undang-undang.

Sementara itu, Idris dalam sidang medianya, berkata Melaka satu-satunya negeri menyediakan portfolio khas bagi antidadah sebagai bukti komitmen kerajaan negeri membanterasnya.

"Langkah kerajaan negeri menubuhkan portfolio khas antidadah menerusi EXCO Kesihatan, Sukan dan Anti Dadah negeri, Datuk Wira Ab Rahaman Ab Karim, jelas suatu tindakan yang serius.

"Malah, setiap minggu mesyuarat diadakan, membabitkan kerajaan negeri, AADK dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membanteras dadah secara habis-habisan," katanya.

Beliau turut memuji usaha membanteras dadah secara besar-besaran oleh AADK apabila jumlah penagih dadah menurun dengan ketara iaitu daripada 30,844 kes pada 2016 kepada 25,922 kes yang dicatatkan pada tahun lalu.

Berita Harian X