Selasa, 20 March 2018 | 3:00pm
SULTAN Nazrin Shah (kanan) berkenan melihat persekitaran hentian selepas merasmikan Hentian Royal Belum Amanjaya di Pulau Banding hari ini. - Foto BERNAMA
SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Hentian Royal Belum Amanjaya di Pulau Banding. Turut sama Menteri Besar Perak,Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir (tengah) dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq. - Foto Muhaizan Yahya

Sultan Nazrin rasmi Hentian Royal Belum Amanjaya

GERIK: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah merasmikan Hentian Royal Belum Amanjaya yang menjadi pintu masuk utama ke Hutan Tropika Belum-Temengor (BTTR) dan Taman Negeri Royal Belum, dekat Pulau Banding di sini hari ini.

Hentian Royal Belum Amanjaya sebelum ini dikenali sebagai Jeti Awam Pangkalan Aman, Pulau Banding sebelum dinaiktaraf.

Pembangunan Hentian Royal Belum Amanjaya sebagai pintu masuk utama bagi pelancong ke kawasan BTTR itu dibangunkan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Jabatan Kerja Raya (JKR), Majlis Daerah Gerik (MDG) dan Perbadanan Taman Negeri Perak (PTKNPk) dimulakan pada Januari 2014 dan siap sepenuhnya pada September 2016.

Jeti baharu yang dibina dengan kos sebanyak RM20.4 juta itu turut dilengkapi kedai serbaneka, medan selera, kedai cenderahati, ruang parkir yang mencukupi untuk kereta dan bas serta sebuah helipad.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah serta Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Saarani Mohamad dan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq.

Pembinaan jeti baharu Hentian Royal Belum Amanjaya itu juga turut menempatkan beberapa pejabat agensi antaranya PTNPk yang akan memudahkan urusan permohonan permit masuk ke Taman Negeri dan informasi pelancongan.

Jeti baharu itu juga berjaya mengatasi masalah jeti lama yang sebelum ini seringkali ditutup setiap kali banjir yang disebabkan oleh air pasang dan hujan lebat.

Sementara itu, Saarani berkata, hentian itu diharap akan merancakkan lagi pembangunan di daerah Hulu Perak, khususnya bagi sektor alam sekitar dan pelancongan negeri.

"Industri pelancongan telah menjadi salah satu industri yang terbesar dan paling cepat berkembang, mencipta peluang pekerjaan dan menjana pendapatan sekali gus dapat memelihara warisan, budaya dan tapak pelancongan.

"Bagi merealisasikan matlamat itu, inisiatif membina hentian ini diharapkan boleh menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat serta limpahan manfaat kepada kawasan dan penduduk sekitarnya," katanya.

INFO Hutan Tropika Belum-Temengor

-------------------------------

* Hutan hujan tertua di dunia ma.ah lebih tua daripada Amazon dan wujud selama lebih 130 juta tahun

* Ia turut meliputi kawasan tasik buatan iaitu Tasik Temengor yang meliputi keluasan 15,200 hektar

* Diisytiharkan sebagai Taman Negari Royal Belum oleh Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah pada 31 Julai 2003

* Turut menjadi penempatan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Jahai dan Temiar

* Menjadi tumpuan pemerhati burung dan menjadi antara hentian spesies burung hijrah.

* Menjadi habitat kepada kesemua 10 spesies burung enggang yang terdapat di Malaysia dan mendapat jolokan sebagai Ibu Kota Burung Enggang Malaysia serta menjadi lokasi tarikan pencinta dan pemerhati burung.

Berita Harian X