Jumaat, 23 March 2018 | 6:05pm
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu peringkat kebangsaan sempena sambutan Hari Guru 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
MENTERI Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bersalaman dengan orang ramai ketika hadir pada majlis perasmian Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu peringkat kebangsaan sempena sambutan Hari Guru 2018 di Kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

'Jangan politikkan isu pendidikan'

KUALA LUMPUR: Pembangkang diingatkan tidak mempolitikkan isu pendidikan dalam program dilaksanakan semata-mata untuk memancing undi rakyat.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata banyak isu lain boleh dibangkitkan tanpa membabitkan guru dan pelajar.

"Pembangkang perlu tahu membezakan antara zon pendidikan dan platform politik walaupun kita tahu pembangkang akan lawan apa saja yang kerajaan buat.

"Kalau nak menyanyi atau berkempen mengenai sebarang isu sekalipun, buatlah dalam lingkungan yang betul. Nyanyilah sekuatnya tetapi jangan babitkan pelajar dan berada di tempat yang tidak sepatutnya untuk kepentingan parti.

"Bagaimanapun, saya yakin masyarakat lebih bijak menilai," katanya pada sidang media selepas merasmikan Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu peringkat kebangsaan sempena sambutan Hari Guru 2018 di sini, hari ini.

'Guru Pemacu Transformasi Pendidikan' dipilih sebagai tema rasmi bagi tahun ini.

Mahdzir berkata demikian sebagai mengulas tindakan pihak tertentu yang dilapor memainkan lagu berunsur menentang dasar kerajaan pada majlis membabitkan pelajar, baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pelaksanaan Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar 2018 yang akan dibentang pada sesi Dewan Rakyat minggu depan, berupaya mengekang penyebaran berita palsu.

"Undang-undang berkenaan dapat melindungi masyarakat daripada impak penyebaran berita tidak benar.

"Semakin lama kita tunggu, semakin banyak berita palsu tersebar dan menjejaskan masyarakat termasuk isu membabitkan bidang pendidikan.

"Contohnya, ketua pengarah umumkan cuti dua hari akibat jerebu di Selangor dan Wilayah Persekutuan yang disiarkan dalam media sosial pada jam 10 pagi.

"Sebelah petangnya, tiba-tiba keluar surat palsu mendakwa cuti dilanjut sehari lagi.

"Kita bercakap mengenai ketamadunan manusia dan tahap pemikiran tinggi tetapi berita palsu seperti ini masih ada dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau turut mengulas kenyataan Penasihat Sosio Budaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim yang berpendapat kerajaan tidak sepatutnya tergesa-gesa menggubal undang-undang berkenaan kerana belum ada takrifan jelas berhubung istilah 'berita palsu'.

Mahdzir berkata, berita palsu boleh memberi kesan kepada negara dan wajar ada kaedah untuk mengawalnya.

Berita Harian X