Isnin, 26 March 2018 | 9:02am

BiKUM bantu ikut ketulenan kes

LIMA, Peru: Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) sentiasa menentukan bantuan kepada rakyat Malaysia di luar negara, disalurkan berdasar kepada ketulenan kes.

Ini bagi memastikan mereka yang diberi bantuan adalah mangsa kepada sindiket jenayah, penipuan dan sindiket dadah yang ditipu serta teraniaya.

Setiausaha Operasi BiKUM, Awie Shoubli Jamal, berkata setiap kali ada kes, pihaknya akan mendapatkan maklumat dan merujuk kepada pelbagai agensi penguatkuasa serta jabatan atau kementerian berkaitan sebelum memberikan bantuan.

Katanya, ada sesetengah kes, BiKUM dimaklumkan rakyat Malaysia terbabit dalam sindiket dadah antarabangsa sebagai ejen.

Serah kepada pihak berkuasa

"Jika kes seumpama itu kita serahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk membantu menguruskan kes mereka," katanya ketika ditemui dalam misi BiKUM membawa pulang Nor Suzanna Azmi dan Noor Azimah Sapie pulang selepas terkandas di Peru masing-masing selama 12 dan 10 tahun.

Suzanna sudah menjalani hukuman penjara lebih dua tahun selepas ditahan bersama dadah dan kemudian tinggal sebagai pendatang tanpa izin hampir lapan tahun apabila dibebaskan.

Azimah tidak ditahan kerana hanya ditipu sindiket dan tidak dapat pulang.

DUTA Besar Malaysia di Peru, Chuah Teong Ban (kiri) dan Setiausaha Operasi BiKUM, Awie Shoubli Jamal. - Foto NSTP

Pantau warga Malaysia

Sementara itu, Duta Besar Malaysia di Peru, Chuah Teong Ban, berkata pihaknya sentiasa membantu kedua-dua mereka sepanjang di negara ini.

Katanya, ia menjadi tugas kedutaan memantau warga Malaysia dalam walau apa sahaja situasi atau kes mereka.

Beliau berkata, dalam kes Suzanna dan Azimah, pihaknya berhubung dengan Wisma Putra dan BiKUM dalam usaha membantu mereka, khususnya persediaan pelbagai proses untuk pulang.

Ini termasuk menguruskan penyediaan dokumentasi, seperti membayar denda tinggal melebihi had dan permit kebenaran meninggalkan Peru.

Berita Harian X