Isnin, 26 March 2018 | 3:47pm
AZIZAH Mohd Dun. - Foto Nurul Shafina Jemenon
AZIZAH Mohd Dun. - Foto Nurul Shafina Jemenon

'Hukuman menanti jika tak lapor kes dera'

KUALA LUMPUR: Individu yang mengambil sikap 'berpeluk tubuh' daripada melaporkan kes penderaan kanak-kanak bakal berdepan hukuman.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd Dun, berkata kewajipan itu selaras pindaan Akta Kanak-Kanak 2001, yang diluluskan pada 2016.

Sehubungan itu, katanya, tiga pihak, iaitu pengamal perubatan, ahli keluarga dan pengasuh, masing-masing mengikut Seksyen 27, 28 dan 29 Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016, wajib melaporkan sebarang kes penderaan.

"Hukuman penjara dan denda boleh diambil terhadap mereka yang tidak melaporkan atau mempunyai sebab munasabah berlakunya kes penderaan membabitkan kanak-kanak.

"Pihak lain yang secara tidak langsung tertakluk kepada pindaan akta ini untuk melaporkan kes penderaan adalah anggota masyarakat menerusi peruntukan Seksyen 29A Akta Kanak-Kanak Pindaan 2016.

"Walaupun tiada kewajipan berbuat demikian, masyarakat atau pihak selain daripada ibu bapa, pengasuh dan pengamal perubatan wajar menjalankan tanggungjawab untuk menangani kes penderaan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baharu), di Dewan Rakyat, hari ini, mengenai tindakan yang menanti pihak berkaitan jika tidak melaporkan kes penderaan.

Azizah berkata, proses penyiasatan dan pengambilalihan hak penjagaan kanak-kanak akan dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat susulan mendapat maklumat mengenai kes penderaan.

"Pegawai penyiasat akan datang ke rumah terbabit untuk menyiasat dan mengambil kanak-kanak berkenaan untuk diletakkan bawah jagaan sementara jika mendapati wujud asas kukuh berlakunya kes penderaan," katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) berhubung pengasingan kanak-kanak seawal usia tujuh tahun, selaras ajaran Islam bagi mengelak risiko sumbang mahram, Azizah menyifatkan, cadangan itu wajar dikaji dan dibincangkan secara lanjut.

Katanya, penderaan seksual membabitkan kes sumbang mahram sebelum ini menyaksikan kanak-kanak diletakkan di bilik berasingan dengan ibu bapa atau antara adik-beradik berlainan jantina.

"Bagaimanapun, penderaan seksual membabitkan kes sumbang mahram masih terjadi angkara naluri haiwan dalam diri pelaku.

"Oleh itu, cadangan seperti ini wajar diteliti daripada pelbagai aspek supaya penyelesaian menyeluruh berupaya dirangka.

"Setakat ini, kita tiada perundangan yang mewajibkan kanak-kanak diletakkan dalam bilik berasingan bagi menangani risiko kes sebegini," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X