Rabu, 28 March 2018 | 12:51pm

Waspada cuaca semasa, elak berada di tempat lapang

PUTRAJAYA: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menasihatkan orang ramai supaya mengelak berada di kawasan lapang ketika berlaku ribut petir susulan musim peralihan monsun bermula semalam hingga minggu pertama Mei ini.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Alui Bahari, berkata, musim peralihan monsun yang kemuncaknya pada April ini dijangka menyebabkan angin kencang dan hujan lebat, seterusnya banjir kilat, terutama pada waktu petang dan awal malam.

Beliau berkata, sepanjang April hingga minggu pertama Mei ini, Malaysia melalui tempoh peralihan monsun, menggantikan fasa akhir monsun timur laut.

"Keadaan itu menyebabkan angin yang bertiup bertukar arah dari Timur Laut ke Barat Daya. Pertembungan tiupan angin itu menyebabkan berlaku angin kencang, ribut petir dan hujan lebat dalam tempoh singkat antara satu hingga dua jam, sekali gus menyebabkan banjir kilat lebih kerap berlaku.

"Ia lebih kerap berlaku di kawasan negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, pantai barat Sabah serta kawasan barat dan tengah Sarawak terutama pada waktu petang dan awal malam," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Alur berkata, walaupun tempoh hujan lebat dan ribut petir dijangka berlaku dalam waktu singkat antara setengah jam hingga dua jam, orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada terhadap keadaan cuaca dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca.

Beliau berkata, angin kencang juga diramalkan menghasilkan hujan batu di beberapa tempat dan puting beliung berskala kecil susulan pembentukan awan kumulunimbus yang turut dikenali sebagai awan ribut petir.

"Bagaimanapun, kejadian puting beliung dan hujan batu amat sukar diramal, susulan itu orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada terhadap keadaan cuaca.

"Elakkan berada di kawasan lapang ketika ribut petir berlaku selain mengelak meletak kenderaan di kawasan banyak pokok tinggi dan papan tanda yang dikhuatiri boleh tumbang akibat angin kencang dan ribut petir," katanya.

Menurutnya, peralihan monsun biasa berlaku setiap tahun tetapi kesannya tidak serius berbanding cuaca musim tengkujuh yang biasanya diramal berlaku pada November.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat cuaca terkini menerusi laman sesawang, www.met.gov.my, aplikasi mobil myCuaca dan Rakan MET atau Facebook malaysiamet dan Twitter @malaysianmet, SMS 15888 atau talian hotline 1300221MET (1638).

Berita Harian X