Ahad, 1 April 2018 | 2:52pm

Dana RM25j bantu belia, usahawan Cina

SERI KEMBANGAN: Datuk Seri Najib Razak mahu pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta belia Cina negara ini, memanfatkan dana berjumlah RM25 juta yang disediakan kerajaan menerusi Kredit Mikro E-dagang (MCE).

Perdana Menteri berkata, kerajaan berharap menerusi skim MCE, ia dapat memberi manfaat kepada usahawan muda Cina berusia antara 18 dan 45 tahun dalam bidang keusahawanan.

"Tidak ada sesiapa yang ditinggalkan. MCE harus mudah diakses oleh kaum Cina yang mahu turut serta ke arah menjayakan transformasi digital.

"Maka, saya meminta belia Cina dan PKS merebut peluang keemasan ini bagi membolehkan transformasi digital anda berjaya dan berperanan penting menjadikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) kenyataan," katanya ketika berucap melancarkan MCE di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Perladangan, Industri dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan serta Pengasas Yayasan Usahawan Wanita Cina Malaysia, Tan Sri SP Lim.

Najib berkata, kerajaan berharap inisiatif itu akan membantu gagasan mencapai tiga bidang penting dalam 'Big Fast Results' yang dirancang kerajaan.

"Pertama, memupuk budaya keusahawanan dalam kalangan orang muda. Kedua, meningkatkan taraf hidup belia dalam aspek pendapatan dan kualiti hidup.

"Ketiga, mentransformasi PKS tradisionalbagi membolehkan mereka kekal berdaya saing, relevan dan membantu produk luar bandar menembusi pasaran global," katanya.

103 dibaca
DATUK Seri Najib Razak berucap ketika pelancaran Pinjaman Mikro bagi tujuan E-Dagang untuk Usahawan Muda di Wisma Huazhong. - Foto Asyraf Hamzah
DATUK Seri Najib Razak melancarkan Pinjaman Mikro bagi tujuan E-Dagang untuk Usahawan Muda di Wisma Huazhong. Turut hadir Datuk Seri Ong Ka Chuan (dua dari kanan), Datuk Seri Mah Siew Keong (tiga dari kanan) dan Pengasas Pinjaman Mikro E-Dagang, Tan Sri Soon Peng Lim (empat dari kiri). - Foto Asyraf Hamzah
Berita Harian X