Selasa, 3 April 2018 | 2:08pm
NAJIB berucap pada Majlis Perasmian Muar Furniture Park dan Pelancaran Program Usahawan Perabot Bumiputera di Tapak Projek Muar Furniture Park di Batu 81/2 Jalan Bakri di Muar, hari ini. - Foto Adi Safri

Batal kerjasama dengan China langkah 'gila' - PM

MUAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyelar cadangan pihak pembangkang untuk membatalkan beberapa kontrak dengan syarikat dari China sebagai kerja gila, tidak siuman dan tidak rasional.

Perdana Menteri berkata, ini kerana China adalah antara rakan dagang terbesar Malaysia selain pembeli terbesar produk keluaran negara seperti minyak kelapa sawit, sarang burung walit, industri kayu dan elektronik.

Beliau berkata, cadangan pembangkang ini menyebabkan Malaysia akan mengalami kerugian dan rakyat negara ini yang akan menderita.

"Kita sudah dengar tuan puan... bahawa pihak pembangkang sudah melahirkan hasrat untuk membatalkan kontrak-kontrak seperti ECRL (Projek Laluan Rel Pantai Timur) dengan negara China dan kontrak-kontrak lain. Cuba bayangkan negara China adalah negara yang menguruskan perdagangan terbesar, maknanya Malaysia punya trading partner (rakan dagangan) adalah China dengan nilai RM100 bilion lebih.

"Mereka juga adalah pembeli minyak kelapa sawit terbesar dan sekarang ini mereka adalah pembeli industri kayu kayan dan perabot yang begitu besar sekali. Mereka juga mengimport barang-barang lain seperti peralatan elektronik sampailah barang seperti sarang burung walit, durian musang king yang kita eksport ke China.

"Cuba bayangkan kalau kita merenggangkan atau pun mengeruhkan hubungan dua hala dengan China. Kalau China tak beli minyak sawit kita, kalau China tak beli perabot kita, kalau China tak beli kayu kayan kita. Siapa yang akan rugi?... rakyat Malaysia yang akan rugi, bukannya pemimpin pembangkang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Muar Furniture Park dan Pelancaran Program Usahawan Perabot Bumiputera di Tapak Projek Muar Furniture Park di Batu 81/2 Jalan Bakri di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan dan mengisytiharkan Muar sebagai Bandar Perabot Malaysia.

Najib berkata, cadangan pihak pembangkang disifatkan akan memberi kesan buruk kepada rakyat.

"Sebab itulah seperti yang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebutkan tadi, pihak yang satu lagi (pembangkang) sebagai pihak yang haru biru. Memanglah kalau membatalkan segala kerjasama dengan China itu adalah satu langkah yang gila, tak siuman.

"Kerana politik nak buat sesuatu yang tak rasional yang akhirnya rakyat Malaysia yang akan menerima bahang buruk.

"Tetapi kalau pihak kerajaan Malaysia, kerajaan pimpinan yang ada hari ini, kita akan terus memperjuangkan untuk nasib semua termasuk tuan puan di Muar ini. Sebab Muar ini adalah tempat yang kita nak beri tumpuan," katanya.

Berita Harian X