Rabu, 4 April 2018 | 5:08pm
PENGASAS Habib Jewels Datuk Habib Mohamed, 92, meninggal dunia awal pagi tadi selepas koma dua minggu akibat terjatuh di dalam bilik air di kediamannya di Jalan Pinhorn. - Foto BERNAMA

Kecekalan Habib jadi inspirasi keluarga

GEORGETOWN: "Gurauan ayah paling dirindui dan semoga kejayaan ayah membangunkan syarikat Habib Jewels akan terus menjadi inspirasi kepada keluarga serta masyarakat."

Demikian kata Datuk Seri Meer Sadik, anak ketiga pengasas syarikat Habib Jewels, Datuk Habib Mohamed, 92, berikutan kematian bapanya pada jam 4.26 pagi tadi di Hospital Gleneagles.

Meer Sadik, yang juga Pengarah Urusan Habib Jewels, berkata bapanya meninggal dunia selepas dua minggu koma akibat terjatuh di bilik air di rumahnya.

Namun, katanya, beliau redha dan bersyukur kerana hasrat bapanya bagi melihat kejayaan empayar perniagaan barangan kemas sudah tercapai.

"Bapa seorang yang sangat teliti, mempunyai pelbagai idea menarik dan kreatif bagi memperluaskan perniagaan, malah gemar bergurau dengan keluarga serta pekerja menyebabkan arwah disenangi dan disayangi," katanya kepada media di sini, hari ini.

Bercerita mengenai kenangan manis, Meer Sadik berkata, beliau antara anak yang paling rapat dengan bapanya tambahan pula sebagai anak lelaki tunggal di kalangan lima beradik.

Katanya, ketika berkumpul bersama keluarga, bapanya gemar bercerita mengenai susah senang membangunkan perniagaan barangan kemas miliknya sehingga dikenali pada peringkat antarabangsa.

"Bila bercerita mengenai ayah, saya teringat kenangan pada waktu kecil, kami sering ke Kebun Bunga (Taman Botani) dan berkelah di pantai manakala hari Ahad adalah bagi berkumpul bersama keluarga.

"Sikapnya yang perlu dicontohi ialah beliau tidak lupa kepada golongan kurang berkemampuan dan gemar mengadakan jamuan makan di sekitar Masjid Kapitan Keling dan peniaga di kawasan itu sudah dianggap sebagai keluarganya," katanya lagi.

Habib meninggalkan lima anak iaitu Siraj, Zabariah, Siti Jawaahari, Meer Sadik dan Siti Shariffah, sembilan cucu dan satu cicit manakala isterinya, Ummul Latifah sudah meninggal dunia pada 2007 akibat sakit tua.

Jenazah disembahyangkan di Masjid Kapitan Keling selepas waktu Zohor sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Perak.

Premis pertama Habib Jewels pada 1958 di Lebuh Pitt, Jalan Kapitan Keling, dekat sini, dibangunkan dengan modal RM3,800 bagi memulakan perniagaan memborong emas untuk membeli barang kemas daripada kedai pajak.

Difahamkan, Habib memilih Jalan Kapitan Keling kerana laluan terbabit dipenuhi kedai emas sehingga digelar 'Jewel's Corner' dalam kalangan masyarakat tempatan.

Tujuan asal Habib meneroka perniagaan emas ketika itu, hanya kerana mahu mencari rezeki menyara keluarga selain beranggapan bidang terbabit lebih stabil berbanding perniagaan lain.

Habib Jewels kini mempunyai lebih 30 cawangan di seluruh negara, selain berkembang ke Hong Kong, Indonesia, Singapura, Amerika Syarikat, Asia Barat dan Eropah.

Ia pernah dinobatkan antara jenama terbaik dalam kategori perniagaan barang kemas di 'Campaign Asia Pacific' dan 'TNS Asia Top 1,000 Brands' selama tiga tahun berturut-turut mulai 2012.

Perniagaan Habib Jewels kini bukan sahaja terhad kepada emas, tetapi membabitkan batu permata, berlian, barang kemas buatan tangan dan aksesori selain menceburi industri perhotelan dan kedai pajak gadai Ar-Rahnu Express yang berlandaskan syariah selain menjalankan usaha sama dengan beberapa jenama antarabangsa.

Berita Harian X