Sabtu, 7 April 2018 | 11:14am
LEE Lam Thye. - Foto Edmund Samunting
LEE Lam Thye. - Foto Edmund Samunting

Perpaduan hadiah tak ternilai

KUALA LUMPUR: Perpaduan adalah hadiah tidak ternilai dan perlu dipelihara serta dihargai semua rakyat di dalam negara berbilang kaum seperti Malaysia.

Aktivis Masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata perpaduan terhasil apabila rakyat daripada pelbagai etnik dan agama saling menghormati antara satu sama lain dan sentiasa berhati-hati dan menyedari sensitiviti agama dan budaya masing-masing demi keharmonian antara kaum.

Menurutnya, di Malaysia, perpaduan dalam komuniti pelbagai kaum adalah sebahagian daripada sejarah dan warisan.

"Ia menjadi sumber penting integrasi kaum selama bertahun-tahun dan pastinya memainkan peranan penting dalam menjadikan Malaysia tempat yang harmoni untuk hidup, belajar, bekerja dan bermain.

"Pemimpin politik dan semua rakyat Malaysia mesti mengamalkan prinsip kesederhanaan yang menjadi kunci kepada pembangunan negara.

"Para pembuat, perancang dan pelaksana dasar pula perlu berpegang kepada prinsip kesederhanaan supaya pemikiran dan tindakan mereka selari dengan matlamat dan objektif Rukunegara serta keluhuran Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata, tugas yang paling mendesak untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan gabungan politik pada masa ini adalah memastikan keharmonian kaum dan agama serta menolak semua bentuk ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian antara kaum dan agama.

"Adalah penting bagi semua rakyat Malaysia yang sederhana dan patriotik untuk terus memperjuangkan usaha membentuk Bangsa Malaysia yang bersatu padu.

"Saya percaya aktiviti sukan dan riadah dapat mengukuhkan perpaduan terutamanya membabitkan pelbagai kaum.

Kejayaan Malaysia menjuarai Sukan SEA ke-29 (KL2017) misalnya disambut dengan penuh kebanggaan oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira siapa atlet yang memenangi pingat.

"Ia juga membuktikan kita mampu menggapai impian jika kita bersatu padu selain mempunyai pelan jangka panjang yang baik serta berusaha dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Menurutnya, rakyat perlu mengekalkan semangat perpaduan dan patriotisme bukan sahaja ketika merayakan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

"Secara ideal, ia mesti bertahan setiap hari sehingga ke generasi yang akan datang.

"Bagi saya, perpaduan pelbagai kaum, agama dan budaya adalah cabaran terbesar negara pada tahun mendatang. Ia juga cabaran yang menjadi kunci kepada kelangsungan hidup kita sebagai sebuah negara.

"Amat dikesalkan jika ada sesiapa yang membuat kenyataan panas dan provokatif yang boleh membawa kepada konflik dan ketegangan serius yang boleh menjejaskan keamanan, keharmonian dan perpaduan negara," katanya.

Beliau menambah, sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan patriotik, adalah menjadi kewajipan mempertahankan keamanan dan keharmonian dengan menahan diri daripada melakukan perbuatan provokasi dan keganasan yang akan mengakibatkan konflik dan kekacauan.

"Apa yang Malaysia perlukan hari ini bukan wira etnik tetapi pembina jambatan etnik dan duta keharmonian yang dapat membantu memupuk semangat muhibah, saling menghormati, kedamaian dan perpaduan.

"Setiap orang mempunyai peranan masing-masing untuk menyatukan Malaysia berdasarkan nilai-nilai murni yang diajar oleh semua agama dan kaum dan bukannya mengamalkan dan mengeksploitasi sentimen etnik," katanya.

Menurutnya, sara terbaik untuk memupuk semangat ini adalah di sekolah-sekolah termasuk tadika di mana kanak-kanak masih muda dan boleh dibentuk tanpa melihat perkara melalui kanta prejudis serta di didik menjadi 'buta warna'.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X