Selasa, 10 April 2018 | 3:50pm
TUN Dr Mahathir Mohamad. - Foto Asyraf Hamzah

Tun M minta maaf

PETALING JAYA: Selepas dikecam pelbagai pihak termasuk Pengerusi Hak Asasi Manusia Nasional (Hakam), Datuk S Ambiga, dan masyarakat India di negara ini, Tun Dr Mahathir Mohamad akhirnya memohon maaf kepada komuniti itu kerana menggunakan istilah menghina dan memperlekehkan kaum itu.

Bekas Perdana Menteri itu mendakwa tidak bermaksud menghina sesiapa kerana istilah berkenaan sering digunakan ketika zaman kanak-kanaknya.

"Saya mahu meminta maaf kepada komuniti India kerana menggunakan istilah itu. Saya tidak bermaksud untuk menghina sesiapa.

"Ketika saya budak-budak, kami selalu menggunakan perkataan itu. Namun sekarang ini perkataan itu dianggap satu penghinaan.

"Sekali lagi, saya memohon maaf kerana menimbulkan masalah ini," katanya pada sidang media di Bangunan Yayasan Selangor di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Dr Mahathir menggunakan istilah menghina dalam ceramah di Muar, Johor, yang mengguris perasaan dan memperlekehkan martabat masyarakat India di negara ini.

Tindakan beliau itu mengundang reaksi dan kemarahan pelbagai pihak yang menggesa Dr Mahathir berhenti menggunakan istilah menghina masyarakat India.

Pada 2016, Dr Mahathir pernah menggunakan istilah sama dan dikecam hebat pelbagai pihak termasuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (HINDRAF), P Waythamoorthy.

18 dibaca
Berita Harian X