Khamis, 12 April 2018 | 1:02pm

Hanya BN mampu majukan Langkawi - PM

LANGKAWI: Pengundi Langkawi perlu memilih sama ada untuk terus mengekalkan kuasa kepada parti yang sudah terbukti mampu membawa pembangunan di pulau peranginan itu atau terperangkap dengan sentimen terhadap pemimpin terdahulu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pengundi perlu bijak membuat pilihan kerana tiada individu yang dapat membawa pembangunan tanpa sokongan kuat daripada kerajaan.

Justeru, beliau berkata, pengundi di Langkawi perlu terus memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO untuk memastikan kesinambungan pembangunan yang diperlukan penduduk pulau ini.

"Komitmen saya bagi pihak BN ialah macam mana nak majukan Langkawi dan selama ini Langkawi maju kerana perjuangan UMNO serta BN.

"Jika hanya kerana peribadi, tidak mungkin Langkawi boleh maju. Orang kata, telan air liur saja tidak boleh. Saya tidak kuat tetapi dengan UMNO dan BN di belakang, saya boleh buat perubahan di Langkawi," katanya pada Majlis Bersama Rakyat di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri, di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah; Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ahli Majlis Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid dan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Datuk Ir Nawawi Ahmad.

Najib berkata, keprihatinan kerajaan kepada rakyat Langkawi amat jelas apabila masalah di Pulau Tuba yang sebelum ini tidak ditangani pemimpin terdahulu berjaya diselesaikannya.

"Saya tidak pernah tinggal orang Langkawi...Pulau Tuba sudah dua kali saya pergi, cuba bayangkan masalah elektrik yang berapa lama tidak selesai di Pulau Tuba, zaman saya kita dapat selesaikan. Kita beri kabel bawah tanah kini 24 jam ada elektrik.

"Malah waktu saya minum teh bersama rakyat, mereka maklum harga RON95 di Pulau Tuba tinggi berbanding tempat lain. saya telefon Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan beberapa hari kemudian selesai masalah itu," katanya.

Beliau berkata, keprihatinan terhadap Langkawi juga jelas apabila kerajaan memperuntukkan RM1.3 bilion bagi pembangunan pulau itu.

Katanya, ia merangkumi RM500 juta bagi menaik taraf Hospital Langkawi dan RM600 juta untuk projek mengatasi masalah air di Padang Mat Sirat.

"Projek Perumahan Rakyat (PPR) kita berikan di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan kos RM268 juta yang akan dibina dalam tempoh terdekat.

"Malah, untuk sektor pelancongan Langkawi, kita juga sudah ada 'blue print' fasa kedua," katanya.

Selain itu, Najib berkata, susulan pengumuman menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, kerajaan juga akan membina jambatan udara (aerobridge).

"Semua projek ini mengambil masa beberapa tahun untuk dilaksanakan, tetapi saya memberi jaminan kepada penduduk Langkawi, kita akan mengotakan semua komitmen ini," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.

Ketika lawatan kerjanya ke Langkawi Februari lalu, Najib mengumumkan peruntukan RM1.3 bilion untuk lima projek infrastruktur bagi pulau itu di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11).

Antara lain, RM600 juta diperuntukkan untuk meningkatkan bekalan air bersih ke pulau itu termasuk dengan membina kemudahan tadahan air di Padang Mat Sirat, pembinaan balai bomba baru dan kuarters kakitangan kerajaan, manakala RM50 juta lagi untuk menaik taraf jalan raya berdekatan bulatan PULAPOL dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak diiringgi Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah beramah mesra dengan orang ramai sewaktu hadir di Majlis Bersama Rakyat di Dewan MIEC Langkawi. - Foto Shahrizal Md Noor
Berita Harian X