Khamis, 19 April 2018 | 11:30pm
Calon PAS bergambar selepas Majlis Pengisytiharan Calon Pilihan Raya Umum ke 14 PAS Negeri Selangor di Dewan Perkim Village Shah Alam, Seksyen 8. - Foto Roslin Mat Tahir

PAS Selangor sah tanding 47 kerusi DUN, 20 Parlimen

SHAH ALAM: PAS Selangor mengumumkan akan bertanding di 47 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU- 14).

PAS turut mengumumkan akan bertanding di 20 Parlimen di Selangor.

Antara calon yang ditampilkan PAS Selangor ialah tiga penceramah terkenal yang sering dijemput dalam program agama di televisyen iaitu Ahmad Dasuki Abd Rani, Mohd Zamri Mohd Zainuldin dan Nushi Mahfodz.

Pelantikan Zamri, yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor itu diumumkan secara rasmi oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, Sallehen Mukhyi dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Perkim Village di Seksyen 8, di sini, malam ini.

Beliau yang sebelum ini hos rancangan 'Mari Mengaji' terbitan TV9 akan bertanding di DUN Sungai Burong.

Selain Zamri, PAS Selangor turut meletakkan seorang bekas hos rancangan Jentik Hati, Suntik Minda terbitan Astro Oasis, Nushi Mahfodz, 43, yang juga Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Serdang di Parlimen Bangi.

Malah, turut dipilih mewakili parti itu ialah penceramah bebas dan Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abd Rani, 42, yang akan bertanding di kerusi DUN Kota Anggerik.

Turut diumumkan adalah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang akan bertanding di Parlimen Shah Alam bagi menentang penyandang dari Parti Amanah Negara (PAN) Khalid Samad.

Pada masa sama, pengumuman calon PRU-14 PAS Selangor menyaksikan hampir keseluruhan penyandang kerusi DUN yang dimenangi pada PRU-13 kekal di kerusi masing-masing antaranya Mohd Shafie Ngah yang bertanding kerusi DUN Sungai Ramal (sebelum ini DUN Bangi), Noor Hanim Ismail (DUN Seri Serdang), Dr Halimah Ali (DUN Selat Klang), Mohd Haslin Hassan (DUN Tanjung Sepat),

Hasbullah Mohd Ridzwan (DUN Gombak Setia), Zaidy Abdul Talib (DUN Taman Templer), Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (DUN Sijangkang), Razaly Hassan (DUN Dusun Tua) manakala kerusi DUN Sabak turut kekal ditandingi oleh Sallehen.

Bagaimanapun, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga bekas ADUN Meru, Dr Abd Rani Osman diumumkan bertanding di Parlimen Kapar.

Pada PRU-14 ini, PAS Selangor turut mengumumkan Pengarah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) M Rajan akan bertanding di DUN Sentosa, manakala Naib Pengerusi DHPP Selangor, Kong Tuck Wah bertanding di DUN Rawang.

Semua calon PAS Selangor turut melafazkan baiah dan sumpah bagi mengelak berulangnya isu pengkhianatan dalam kalangan wakil rakyat parti itu selepas PRU-14.

18 dibaca
Berita Harian X