Jumaat, 20 April 2018 | 12:25am
Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof mengumumkan calon PRU-14 bagi kerusi 6 Parlimen dan 18 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di Markas Tarbiah PAS Pongsu Seribu, Kepala Batas. - Foto Ramdzan Masiam

PAS calonkan Siti Mastura kerusi Parlimen Kepala Batas

KEPALA BATAS: Seramai 24 individu dinamakan sebagai calon yang akan bertanding mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), membabitkan 18 di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan enam kerusi Parlimen.

Pengumuman itu dibuat Pesuruhjaya PAS negeri, Fauzi Mohd Yusof pada Majlis Pengisytiharan Calon bagi Parlimen dan DUN Pulau Pinang di Markas Tarbiyah PAS negeri di Pongsu Seribu, Kepala Batas, dekat sini.

Fauzi berkata, senarai calon PAS Pulau Pinang yang diumumkan itu bagaimanapun belum mengambil kira bilangan yang akan dikemukakan daripada parti komponen dalam Gagasan Sejahtera yang juga akan bertanding menggunakan logo parti Islam berkenaan.

"Timbalan Ketua Dewan Muslimat negeri, Siti Mastura Muhamad dicalonkan di Parlimen Kepala Batas, manakala Rizal Hafiz Ruslan di Parlimen Tasek Gelugor.

"Setiausaha PAS negeri, Iszuree Ibrahim pula dicalonkan di Parlimen Bayan Baru; bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri, Mohd Helmi Haron (Parlimen Nibong Tebal) dan Muhammad Imran Muhammad Saad (Parlimen Balik Pulau)," katanya.

Pada majlis sama, Dewan Ulamak PAS Pulau Pinang turut menyerahkan sumbangan bernilai RM1,000 kepada setiap calon di kerusi DUN dan Parlimen yang akan mewakili parti Islam itu pada PRU-14, sebagai persediaan untuk berkempen.


Orang ramai yang hadir bagi mendengar pengumuman calon PRU-14 bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang daripada Persuruhjaya PAS Pulau Pinang, Fauzi Mohd Yusof di - Foto Ramdzan Masiam

Minggu lalu, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden sebagai calon yang akan bertanding di Parlimen Permatang Pauh, mewakili parti Islam itu pada PRU-14.

Fauzi berkata, Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Bukhori Ghazali dicalonkan bagi kerusi DUN Pinang Tunggal, Ketua Penerangan PAS negeri, Mohd Yusni Mat Piah (DUN Penaga) manakala Bendahari PAS negeri, Moktar Ramli di DUN Bertam.

"Mohd Sobri Saleh dicalonkan bagi kerusi DUN Permatang Berangan, Zahadi Mohd (DUN Sungai Dua), Mohamad Hanif Haron (DUN Teluk Air Tawar), Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri, Ahmad Rafaei A Rashid (DUN Seberang Jaya).

"Saya sendiri dicalonkan di DUN Permatang Pasir, manakala Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (DUN Penanti); Norazman Ishak (DUN Bukit Tengah); Osman Jaafar (DUN Sungai Bakap); Nor Zamri Latiff (DUN Sungai Acheh); Yang Dipertua PAS Tanjong, Yaacob Omar (DUN Sungai Pinang).

"Mohd Farhan Yusri pula dicalonkan di DUN Pantai Jerejak, aktivis alam sekitar, Saiful Lizan Md Yusoff (DUN Batu Maung), Zarina Shinta Madar (DUN Bayan Lepas), Mohd Taufik Hashim (DUN Pulau Betong) dan Mohd Ali Othman (DUN Teluk Bahang)," katanya.

19 dibaca
Berita Harian X