Selasa, 24 April 2018 | 7:26pm
 DATUK Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal, Ahmad Saidi Mohamad Daud, Mohd Kamaruddin Abu Bakar dan Jamilah Zakaria - Foto Ihsan Pejabat MB
DATUK Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal, Ahmad Saidi Mohamad Daud, Mohd Kamaruddin Abu Bakar dan Jamilah Zakaria - Foto Ihsan Pejabat MB

Muka baru yakin cipta kejutan di Bukit Gantang

IPOH: Empat calon muka baharu ditampilkan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Bukit Gantang dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di parlimen itu diyakini mampu mencipta kejutan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal akan bertanding di Parlimen Bukit Gantang, manakala tiga calon dipilih mewakili tiga DUN di parlimen itu ialah Mohd Kamaruddin Abu Bakar (Kuala Sepetang), Ahmad Saidi Mohamad Daud (Changkat Jering) dan Jamilah Zakaria (Trong).

Syed Abu Hussin berkata, beliau yakin BN bakal merampas kembali Parlimen Bukit Gantang dan dua DUN iaitu Kuala Sepetang dan Changkat Jering yang dimenangi pembangkang pada PRU-13 serta mengekalkan kemenangan di kerusi DUN Trong.

Beliau berkata, laluan diberikan MCA kepada UMNO di DUN Kuala Sepetang atas semangat setia kawan memberikan keyakinan kepada BN merampas kembali kerusi itu daripada pakatan pembangkang.

Katanya, beliau juga yakin dapat merampas kembali kerusi Parlimen itu yang sebelum ini disandang Naib Presiden PAS, Idris Ahmad berikutan UMNO sudah memulakan gerak kerja sejak awal lagi.

"BN bukan parti bermusim, apabila pilihan raya baru turun jumpa pengundi, tetapi kita sentiasa berkhidmat pada setiap masa.

"Walaupun saya hanya Ketua Bahagian (UMNO) tetapi saya sudah membantu pengundi sejak awal lagi dan yakin keikhlasan saya dapat dinilai mereka (pengundi)," katanya selepas Majlis Pengumuman dan Penyampaian Watikah Pelantikan Calon BN Perak di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini, hari ini.

Syed Abu Hussin berkata, pemilihan calon dilakukan pada kali ini adalah yang terbaik kerana mengambil kira pelbagai sudut dan pengundi seharusnya terus memberikan mandat kepada BN untuk memimpin negara ke arah kemajuan ekonomi.

Berita Harian X