Rabu, 2 Mei 2018 | 7:13pm
KUALA LUMPUR 01 MEI 2018. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berucap ketika Sambutan Hari Pekerja di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). NSTP/ SAIRIEN NAFIS

Periksa dulu maklumat - PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, perkembangan terkini kes saman Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang, terhadap Sarawak Report membuktikan rakyat tidak boleh mempercayai sepenuhnya dakwaan dibuat di media sosial.

Perdana Menteri dalam entri menerusi akaun Twitter rasminya @NajibRazak petang ini, turut menasihatkan supaya rakyat memeriksa terlebih dulu maklumat diperoleh di media sosial.

"Sarawak Report pun sudah kalah kes mahkamah peringkat interlokutori di London atas kes fitnah UMNO konon bagi PAS (rasuah) RM90 juta.

"Mereka (Sarawak Report) tiada bukti sama sekali. Jangan percaya sepenuhnya apa ada di media sosial, periksa dahulu fakta dan kebenaran," katanya yang turut menggunakan #TsunamiPHitnah bersama entri terbabit.

Kelmarin, Mahkamah Tinggi di London memerintahkan defendan, Clare Rewcastle-Brown yang juga editor Sarawak Report, membayar 28,900 pound kepada Hadi sebagai kos bayaran guaman yang perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari.

Perintah itu dikeluarkan selepas mahkamah menolak kira-kira 50 muka surat daripada 55 halaman penyataan pembelaan Rewcastle-Brown.

Mahkamah turut menetapkan perbicaraan selama 12 hari mulai April 2019.

Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Clare Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April tahun lalu, berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa Presiden PAS itu menerima dana RM90 juta sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Berita Harian X