Ahad, 6 Mei 2018 | 5:46pm
SEBANYAK 95 peratus anggota dan pegawai ATM melunaskan tanggungjawab mengundi awal dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14), semalam. - Foto Zulfadhli Zulkifli

95 peratus anggota ATM, keluarga mengundi awal

JOHOR BAHRU: Sebanyak 95 peratus anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melunaskan tanggungjawab mengundi awal dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU-14), semalam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, beliau bangga dengan peratusan itu dan membuktikan apa yang dirancang sebelum ini untuk proses demokrasi dan hak untuk mereka mengundi berjalan lancar.

"Saya bangga peratusan anggota dan keluarga masing-masing yang sudah keluar (mengundi) 95 peratus dan mempunyai wakil pemerhati perjalanan proses pengundian di kem-kem (tentera) kita.

"Jadi ini merupakan sesuatu yang boleh mematah cakap-cakap yang berunsur dan berniat tidak baik kepada anggota dan keluarga sebelum ini.

DATUK Seri Hishamuddin Hussein (tengah) bersama calon BN Johor Bahru pada Majlis Perhimpunan Veteran Johor Bahru Sempena Lawatan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Kompleks Belia dan Sukan Johor. - Foto Hairul Anuar Rahim

"Kita cukup profesional untuk memastikan hak mereka mengundi tidak akan disekat dan ia dilakukan sejak sebelum ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Veteran Johor Bahru Sempena Lawatan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Kompleks Belia dan Sukan Johor, di sini, hari ini.

Hadir sama, penyandang kerusi Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Datuk Yahya Jaafar dan calon BN DUN Stulang, Ang Boon Heng.

Sementara itu, BH Online semalam melaporkan, seramai 152,357 anggota, pegawai dan pegawai kanan ATM seluruh negara mengundi awal sempena PRU-14.

Jumlah itu membabitkan 110,277 pengundi bagi perkhidmatan Tentera Darat (TD), 22,498 pengundi perkhidmatan Tentera Laut (TL) dan 19,581 pengundi bagi perkhidmatan Tentera Udara (TU).

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamad Noor dipetik sebagai berkata, bagi melancarkan proses pengundian awal, sebanyak 145 pusat pengundian awal dibuka di seluruh negara.

Berita Harian X