Rabu, 9 Mei 2018 | 3:36pm
FOTO hiasan
KETUA Peneraju Open Web Application Security Project (OWASP) Malaysia, Mohd Fazli Azran

Tingkatkan ciri keselamatan

KUALA LUMPUR: Beberapa laman web parti politik yang diserang menerusi serangan penafian perkhidmatan teredar (DDoS) menjadi satu ancaman yang dikhuatiri bertujuan untuk menghalang masyarakat mengakses maklumat yang diperlukan.

Ketua Peneraju Open Web Application Security Project (OWASP) Malaysia, Mohd Fazli Azran, berkata beliau bimbang sekiranya ancaman terbabit hanyalah permulaan kepada pelbagai kesulitan yang dijangka berlaku selepas selesainya Plihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Kita tidak tahu apa niat penggodam berbuat demikian dan lebih membimbangkan ialah apa yang akan mereka lakukan selepas berakhirnya hari penting ini.

"Sesetengah laman web tidak boleh diakses, manakala sebahagian lagi dilencongkan ke laman web sementara.

"Adakah ini sekadar gangguan ataupun lebih daripada itu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, beberapa laman web parti politik dipercayai digodam pihak tidak bertanggungjawab manakala ramai pemimpin Barisan Nasional (BN) menerima panggilan spam daripada nombor antarabangsa hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Fazli menasihatkan pereka laman web parti politik supaya meningkatkan ciri keselamatan bagi mengelakkan serangan siber, antaranya pencerobohan, cubaan pencerobohan, DDoS dan jangkitan virus.

"Kebanyakan laman web yang diserang dilengkapi ciri keselamatan minimum menyebabkan sistem mudah diceroboh.

"Selain itu, pengguna telefon pintar boleh muat turun aplikasi khusus seperti Truecaller yang boleh mengenal pasti nombor panggilan yang tidak diingini.

"Cara ini dapat membantu untuk mengesan panggilan scam yang dibuat dari dalam atau luar negara sekaligus mencegah daripada berlakunya perkara yang tidak diingini," katanya.

Berita Harian X