Jumaat, 11 Mei 2018 | 7:41pm
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui di wad Hospital Rehabilitasi Cheras di sini, petang tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad
DATUK Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika ditemui di wad Hospital Rehabilitasi Cheras di sini, petang tadi. - Foto Syarafiq Abd Samad

PKR ada senarai calon menteri

CHERAS: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata parti itu sudah mempunyai senarai nama dicalonkan menganggotai barisan Kabinet Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau yang dinamakan sebagai Timbalan Perdana Menteri berkata, senarai nama hanya akan dimuktamadkan selepas dipersetujui ahli gabungan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PH esok.

"Seperti diumumkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kita mempunyai 10 kementerian teras bagi membolehkan kerajaan baharu ditubuhkan secepat mungkin.

"Kita sudah ada nama untuk dicadangkan tetapi perlu bincang dengan ahli gabungan PH lain," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan Penasihat PKR yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di wad Hospital Rehabilitasi Cheras di sini, petang tadi.

Terdahulu, Dr Wan Azizah berkata Anwar gembira kerana proses pembentukan kerajaan Pakatan Harapan dan pelantikan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketujuh berjalan lancar.

"Inilah kali pertama selepas 20 tahun saya melihat Anwar begitu gembira kerana dapat menyaksikan sendiri pengumuman kemenangan PH dan pelantikan serta majlis angkat sumpah Perdana Menteri baharu menerusi televisyen.

"Perubahan kerajaan ini turut menaikkan semangat beliau untuk cepat sembuh biarpun hanya memberikan usaha kecil ke arah itu," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X