Selasa, 15 Mei 2018 | 3:21pm
DATUK S Ambiga. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Ambiga, dua hakim bersara dalam Jawatankuasa Pembaharuan Institusi

KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan, Datuk S Ambiga, adalah di antara lima anggota Jawatankuasa Pembaharuan Institusi yang ditubuhkan Majlis Penasihat Kerajaan, hari ini.

Selain Ambiga, jawatankuasa itu turut dianggotai oleh dua hakim bersara Mahkamah Rayuan iaitu Datuk KC Vohrah dan Datuk Mah Weng Kai yang juga Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Dua lagi anggotanya adalah pensyarah undang-undang dan pemegang Kursi Tunku Abdul Rhman di Universiti Malaya, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi dan Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji.

Majlis Penasihat Kerajaan dalam kenyataan media yang dikeluarkan menerusi Bernama, berkata jawatankuasa berkenaan akan membentangkan penemuan serta syor kepada majlis itu yang kemudian akan mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Majlis terbabit berkata , pembaharuan ekonomi semata-mata tidak mampu membawa perubahan yang diinginkan, melainkan turut diiringi pembaharuan institusi.

Majlis Penasihat Kerajaan dibentuk pada 12 Mei bagi menasihati kerajaan mengenai isu ekonomi dan kewangan.

Berita Harian X