Jumaat, 18 Mei 2018 | 3:51pm
GAMBAR fail, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Jawatankuasa Pembaharuan hanya berfungsi menasihati kerajaan

SHAH ALAM: Jawatankuasa Pembaharuan Institusi hanya berfungsi bagi menasihati kerajaan berhubung pelbagai isu dan keperluan seperti yang diamalkan di kebanyakan negara maju.

Ahli jawatankuasanya, Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkata, mereka tidak mempunyai kuasa dan hanya memberikan idea dan cadangan namun kerajaan yang memutuskan sama ada mahu menerima atau sebaliknya.

"Jawatankuasa ini tidak ada kuasa mengarahkan penahanan seseorang, ia tidak boleh mengarahkan cukai diperkenalkan, ia dilantik untuk memberi cadangan mengenai penambah baikan atau apa-apa keperluan, dan cadangan itu juga boleh ditolak oleh kerajaan.

"Ia adalah perkara normal jika jawatankuasa ini diwujudkan di negara ini, kerana di negara luar sudah lama kerajaan mereka melantik jawatankuasa seperti ini untuk membantu kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada kuliah umum bertajuk Peraturan Undang-Undang dan Demokrasi di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara (UiTM), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga pensyarah undang-undang serta pemegang Kursi Tunku Abdul Rahman di Universiti Malaya berkata, jawatankuasa berkenaan hanya boleh mengesyorkan kepada kerajaan sekiranya terdapat undang-undang di negara ini yang memerlukan penambahbaikan.

"Negara kita adalah negara demokrasi di mana undang-undang digubal di Parlimen, tetapi jawatankuasa ini tidak ada hak untuk menggubal undang-undang.

"Sebab itu pandangan beberapa pihak lain yang mahukan jawatankuasa ini terlibat dalam penggubalan undang-undang, saya tidak setuju, kerana ia bercanggah dengan prinsip demokrasi berparlimen di negara ini," katanya.

Selain Dr Shad, Jawatankuasa Pembaharuan Institusi turut dianggotai Presiden Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan, Datuk S Ambiga, dua hakim bersara Mahkamah Rayuan iaitu Datuk KC Vohrah dan Datuk Mah Weng Kai serta Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Brig Jen (B) Datuk Mohamed Arshad Raji.

Jawatankuasa berkenaan akan membentangkan penemuan serta syor kepada Majlis Penasihat Kerajaan yang kemudiannya akan mengemukakan laporan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berita Harian X