Sabtu, 19 Mei 2018 | 8:47pm
DATUK Seri Azam Baki. - Foto NSTP

SPRM nafi kenyataan peguam Najib

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan kenyataan peguam kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Datuk Harpal Singh Grewal yang menyatakan pegawai SPRM akan hadir ke kediaman beliau untuk merakam percakapannya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya sudah menyerahkan notis kepada Najib untuk hadir ke Ibu Pejabat SPRM, Selasa ini.

"Beliau (Najib) dikehendaki hadir bagi membantu siasatan SPRM membabitkan kes SRC International.

"Saya menolak kenyataan peguam bekas Perdana Menteri itu yang menyatakan bahawa pegawai SPRM akan hadir ke kediaman beliau untuk merakam percakapannya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, dalam notis yang diserahkan kepada beliau semalam yang dinyatakan dengan jelas bahawa Najib perlu hadir ke Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam percakapannya.

Petang tadi, Harpal yang ditemui di kediaman Najib di Jalan Langgak Duta, Taman Duta, di sini, memaklumkan pegawai SPRM bersetuju untuk hadir ke kediaman itu merakam keterangannya.

Berita Harian X