Ahad, 27 Mei 2018 | 7:15pm
EXCO Yayasan Jamin bersama anak-anak yatim dan fakir yang menerima bantuan pakaian raya.
SOHAIMI (kiri) dan Shahrom dari Yayasan Jamin menemani anak-anak yatim TCD membeli pakaian raya.

Yayasan Jamin taja baju raya 30 anak yatim

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 anak-anak yatim dan fakir miskin Teratak Che Dah (TCD) hari ini menerima pakaian raya yang disumbang oleh Yayasan Jamin (YJ).

Bagi memberi keceriaan kepada mereka untuk menyambut Aidilfitri, semua anak-anak yatim dan fakir miskin itu telah dibawa untuk membeli belah pakaian raya di Mydin Selayang dekat sini.

Pengerusi YJ, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata program berkenaan adalah acara tahunan yang dilakukannya bersama yayasan itu buat anak-anak TCD.

Katanya, YJ juga turut mendapat sumbangan daripada ahli perniagaan mahupun badan korporat yang memberi sokongan bagi membantu mereka yang kurang berkemampuan.

"Ini adalah tradisi kami, boleh dikatakan tiap-tiap tahun kita menyumbang pakaian serta keperluan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin yang tinggal di TCD.

"Diharap sumbangan ini dapat memberi kegembiraan dan keceriaan buat anak-anak ini menyambut lebaran," katanya.

Turut serta pada program itu, Pengarah Eksekutif YTL Development Sdn Bhd, Datuk Shahrom Mohamed.

Berita Harian X