Isnin, 28 Mei 2018 | 9:11pm
MUHD Mus'ab Jamanuri.
MUHD Mus'ab Jamanuri.

Rindu tarawih bersama bapa

SHAH ALAM: "Mus, ikut ayah tarawih," suara bapa kepada pelajar Muhd Mus'ab Jamanuri, 15, masih terngiang-ngiang di telinga ketika mengajaknya ke masjid setiap kali selepas solat Isyak di rumah.

Mus'ab yang kehilangan bapanya sejak berusia 10 tahun lalu akibat sesak nafas, ternyata terlalu rindu selepas lebih lima tahun tidak dapat menunaikan solat bersama.

Beliau yang menetap di Rumah Kebajikan Mahligah Kasih, Zadut Taqwa, di sini melahirkan rasa sedih ketika ditanya mengenai perasaannya yang sentiasa teringat kepada arwah bapanya itu.

"Selesai solat Isyak bersama di rumah, saya dan ayah akan menaiki motosikal untuk ke masjid bagi menunaikan solat tarawih.

"Semua itu menjadi kenangan terindah yang tidak dapat dilupakan sehingga jika mahu menunaikan solat tarawih bersama rakan, saya berasa seperti ayah berada di sebelah saya," katanya ketika ditemui sebentar tadi.

Beliau adalah antara 276 penghuni daripada 23 rumah anak yatim dan kebajikan yang menerima sumbangan zakat dan duit raya bernilai RM149,500 pada program Management & Science University (MSU) Ihya Ramadan 2018 bersama anak yatim dan rakan industri di Dewan Canselor MSU, di sini hari ini.

Sumbangan itu disampaikan Presiden MSU dan MSU College, Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Yang turut hadir ialah Pro Canselor MSU, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin, Naib Canselor MSU, Prof Puan Sri Dr Junainah Abd Hamid dan Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Khalid Ibrahim.

Sementara itu, Prof Mohd Shukri, berkata majlis itu selaras dengan usaha MSU untuk menghidupkan budaya bersyukur dan menyampaikan sumbangan zakat serta duit raya kepada 23 rumah anak yatim dan kebajikan di sekitar negeri ini.

"MSU tahun ini melaksanakan aktiviti kebajikan antaranya penyerahan zakat; iftar; bersahur; solat tarawih; pengagihan bubur lambuk; qiamullail; khatam al-Quran; bantuan baju raya warga kampus dan komuniti di seluruh negara.

"Majlis penyerahan zakat ini adalah sebahagian daripada program MSU Ihya Ramadhan 2018 serta acara tradisi yang mencerminkan komitmen universiti dalam memenuhi tanggungjawab terhadap komuniti," katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada rakan industri yang sentiasa menyokong MSU dalam pelbagai aspek termasuk program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan program univerisiti.

Antara rumah kebajikan yang menerima sumbangan Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras; Pusat Jagaan Baitus Sakinas Wal Mahabbah; Pusat Jagaan Nur Ekhwan Ku; Pertubuhan Al Khadeem; Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-anak Islam Tersisih Selangor (PAKATs); Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Nur Kasih, Pusat Jagaan Nur Sakinah; Yayasan Al Amin; Pusat Jagaan Baitul Hidayah dan Rumah Anak Yatim Rohingya Darul Aitam.

INFO

*Antara aktiviti terbesar ialah GPS Ramadan membabitkan pelajar perubatan MSU yang dijalankan di 11 lokasi terpilih merangkumi 11 negeri di seluruh negara serta satu lokasi di Bangalore, India.

*Setiap pelajar menerima RM150 duit raya dan rumah kebajikan masing-masing menerima RM5,000.

*Di peringkat global, MSU turut melaksanakan program pengagihan zakat dan iftar di Indonesia, India, Sri Lanka, Kazakhstan, Vietnam, Indonesia, Syria, Palestin dan Bosnia.

FAKTA NOMBOR

*Lebih 800 tetamu hadir pada majlis berkenaan.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X