Khamis, 31 Mei 2018 | 12:58pm
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto BERNAMA
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. - Foto BERNAMA

Sultan Selangor bimbang belia terbabit dadah

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melahirkan kebimbangan terhadap permasalahan dadah terutama dalam kalangan belia di negeri ini.

Ia membabitkan penyalahgunaan dadah dan membawa masuk dadah dengan pelbagai taktik atau modus operandi penyeludupan baharu sehingga menyukarkan pembendungannya.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan), Zamani Ahmad Mansor, dalam satu kenyataan semalam, berkata baginda selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Selangor mendapati banyak kes dibawa kepada lembaga itu membabitkan kes jenayah pengedaran dadah.

Beliau yang juga Setiausaha Lembaga Pengampunan Selangor berkata, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam laporannya menyebut hasil ujian air kencing dijalankan, seramai 1,829 daripada 370,285 pelajar dari 178 sekolah disahkan positif dadah.

"Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menyatakan kegusaran baginda dengan perkembangan kes dadah kerana ia mendatangkan implikasi negatif kepada golongan muda di Selangor.

"Gejala pengedaran dadah menjadi semakin serius dan kritikal yang mengundang kesengsaraan kepada mangsa dadah serta keluarga mereka.

"Permasalahan ini perlu dibanteras secara tegas dan tanpa kompromi kerana kesan negatifnya bukan saja mengancam kesihatan dan keselamatan awam, malah berpotensi meningkatkan berlaku kejadian jenayah lain yang akhirnya akan menghancurkan ketenteraman awam serta perpaduan masyarakat yang sedang dinikmati di Selangor," katanya.

Justeru, Zamani berkata, baginda mengeluarkan peringatan keras supaya rakyat lebih berwaspada dan menghindarkan diri daripada terbabit dengan aktiviti penyeludupan, pengedaran, penyalahgunaan serta seumpamanya membabitkan dadah.

Berita Harian X