Khamis, 31 Mei 2018 | 2:25pm
PENGARAH JBPM Selangor, Azmi Osman (tiga dari kanan) menerima barangan keperluan #HMKotakRezeki daripada Ketua Biro NSTP Shah Alam, Rafidah Mat Ruzki (dua dari kiri) di Ibu Pejabat JBPM Selangor. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
PENGARAH JBPM Selangor, Azmi Osman (tiga dari kanan) menerima barangan keperluan #HMKotakRezeki daripada Ketua Biro NSTP Shah Alam, Rafidah Mat Ruzki (dua dari kiri) di Ibu Pejabat JBPM Selangor. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Bomba Selangor hargai #HMKotakRezeki

SHAH ALAM: Sumbangan #HMKotakRezeki diterima Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor membolehkan anggota berbuka puasa dengan selesa jika perlu bertugas ketika waktu berbuka.

Pengarah JBPM Selangor, Azmi Osman, berkata baru-baru ini, anggotanya di Rawang, hanya berbuka dengan air kosong berikutan menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran sebuah rumah, kira-kira 10 minit sebelum tiba waktu berbuka.

Katanya, dalam perjalanan, anggota hanya dibekalkan air dan minuman itulah yang dijadikan alas perut sehingga kerja pemadaman api dapat diselesaikan sepenuhnya.

Berikutan itu, katanya, pihaknya akan mengagihkan 150 #HMKotakRezeki yang diserahkan Ketua Biro NSTP Shah Alam, Rafidah Mat Ruzki, ke semua zon seluruh Selangor bagi memastikan anggota dapat berbuka puasa dengan selesa dan mudah.

"Ini sumbangan yang amat bermakna kepada kami yang bertugas tidak tentu masa dan kami dapat merasakan masyarakat menghargai kerja kami.

"Walaupun sedang berbuka dan pada masa sama kami menerima panggilan kecemasan, anggota akan tetap mengutamakan kerja," katanya kepada NSTP, di sini, hari ini.

Azmi berkata, makanan yang disediakan di dalam #HMKotakRezeki itu seperti kek chiffon dalam cawan, air kotak dan air mineral botol dianggap sudah memberi kenikmatan kepada mereka.

"Selalunya, seteguk air sudah memadai tetapi dengan pemberian kotak ini, anggota akan lebih bertenaga sementara menunggu tugasan mereka selesai," katanya.

Tahun ini, buat kali ketiga, NSTP mengedarkan 10,000 Kotak Rezeki kecil (individu) kepada anggota keselamatan dan 1,000 Kotak Rezeki besar (keluarga) kepada rumah kebajikan terpilih di seluruh negara.

Sumbangan berkenaan ditaja oleh Affin Bank Group, rakan kurier Pos Laju, Watsons Malaysia dan Nabati Food Malaysia Sdn Bhd.

Selain itu, #HMKotakRezeki turut mendapat sumbangan OISHI, Kimball, Central Sugar Refinery (CSR) Massimo by The Italian Baker dan QNet International.

Kotak kecil terbabit mengandungi sebotol air mineral, buah kurma, kek chiffon dalam cawan, biskut serta air kotak yang sesuai diberikan kepada individu yang bekerja pada waktu berbuka puasa.

Kotak besar dengan berat melebihi 20 kilogram pula mengandungi beras, tepung gandum, gula, Milo, bihun, kordial, teh, susu pekat, biskut, majerin, minyak masak, sardin, sos cili, sos tiram, pasta serta air mineral.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X