Ahad, 3 Jun 2018 | 10:17pm
DUTA World #QuranHour, Datuk Rosyam Nor (empat kanan baris berlakang) menyerahkan Al-Quran kepada Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Datuk Hussamuddin (tiga kiri baris belakang) sebagai simbolik penamat Konvoi 'Ride For World #QuranHour' di Seksyen 15 Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

Penunggang motosikal sokong World #QuranHour

KUALA LUMPUR: Seramai 1,200 penunggang bermotosikal menyertai Ride for World #QuranHour (R4WQH) sebagai tanda sokongan terhadap program World #QuranHour yang akan diadakan pada 7 Jun ini di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Konvoi turut disertai oleh dua selebriti popular yang juga duta World #QuranHour, iaitu Datuk Rosyam Nor dan Norman Hakim.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff, berkata acara konvoi ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila lebih 2,000 penyertaan diterima sama ada secara berkumpulan mahupun individu.

Marhaini berkata, pihaknya teruja dengan sambutan yang diberikan oleh peminat motosikal untuk sama-sama menggerakkan program al-Quran ini.

"Ini tahun ketiga kita menganjurkan pra-program World #QuranHour. Sebelum ini, Rosyam Nor mengetuai Walk for World #QuranHour dengan berjalan kaki sejauh 47 kilometer dari Surau Karangkraf, Shah Alam ke UIAM, Gombak. Tahun lalu, beliau menjayakan Climb for World #QuranHour 2017 dengan mendaki 2,200 anak tangga Menara Kuala Lumpur.


DUTA World #QuranHour, Datuk Rosyam Nor (kanan) turut serta Program Iftar Percuma Ala Masjid Nabawi selepas Konvoi "Ride For World #QuranHour" di Kompleks Karangkraf Seksyen 15, Shah Alam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat

"Tahun ini, sejarah baharu apabila 1,200 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi, skuter dan motosikal kapcai menunjukkan penyatuan hati menyertai program kali ini," katanya.

Pelepasan peserta konvoi disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di pekarangan Masjid Negara dan konvoi akan menuju ke premis Kumpulan Karangkraf, Shah Alam untuk menyertai Mega Iftar ala Madinah.

Dalam perjalanan ke Kumpulan Karangkraf, Shah Alam konvoi berkenaan akan singgah di empat lokasi iaitu Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Jalan Tun Perak; Masjid Muadz bin Jabal, Taman Setiawangsa; Masjid Ar Rahman, Jalan Pantai Baru; dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Sementara itu, Rosyam berkata program konvoi itu mampu memberi kesedaran lebih meluas kepada masyarakat terhadap kempen World #QuranHour.

"Setiap tahun, gelombang al-Quran semakin meningkat. Ini menunjukkan masyarakat di negara ini dan dunia semakin sedar untuk kembali kepada al-Quran," katanya.

"Saya berharap gelombang ini terus bergerak dari semasa ke semasa dan masyarakat Islam di seluruh dunia dapat meluangkan masa selama sejam untuk sama-sama membaca al-Quran," katanya.

Berita Harian X