Rabu, 6 Jun 2018 | 4:22pm

UMNO bimbang budaya kebiadapan terhadap Raja-Raja Melayu

KUALA LUMPUR: UMNO bimbang dengan penularan budaya kebiadapan terhadap Raja-Raja Melayu yang merebak dalam kalangan individu dan pihak tertentu dengan berselindung disebalik hak kebebasan bersuara.

Unit Komunikasi Strategik UMNO dalam kenyataannya hari ini menyebut, penularan budaya negatif ini sengaja ditanam dengan tujuan menghakis rasa taat setia rakyat Malaysia kepada Raja-Raja Melayu.

"UMNO mahu langkah-langkah pencegahan diambil terhadap sebarang tindakan provokatif yang menolak prinsip taat setia kepada raja supaya prinsip yang termaktub dalam Rukun Negara terus dipelihara.

"UMNO berdiri teguh bersama Raja-Raja Melayu untuk mempertahankan hak-hak yang membabitkan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan seperti yang terdapat dalam Perkara 3 (1), kedudukan Raja-Raja Melayu seperti Perkara 38.

"Selain itu, perlu dipertahan adalah hak-hak meliputi kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 dan kedudukan Hak-Hak Istimewa Orang-orang Melayu seperti yang termaktub Perkara 153 dalam Perlembagaan Malaysia," katanya.

Justeru, UMNO mahu kerajaan Pakatan Harapan mesti bertegas dalam hal ini dan tidak boleh mengambil sikap berdiam diri, baling batu sembunyi tangan dan telus mengekalkan sebarang peruntukan yang sedia termaktub dalam Perlembagaan, terutama yang berdasarkan semangat kontrak sosial.

Belum terlewat untuk UMNO menjunjung kasih dan taat setia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V kerana melantik Tommy Thomas sebagai Peguam Negara yang baharu.

"Meski pun banyak pihak membantah pelantikan Thomas, UMNO mengambil pendirian meletakkan sepenuhnya kuasa ke bawah kebijaksanaan dan pertimbangan ke bawah Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

"Dengan semangat ini, UMNO berikrar akan mematuhi perintah ini dan akan terus berdiri teguh di bawah panji-panji Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.

"UMNO akan memastikan tidak wujud sebarang pertelingkahan semua pihak di atas pelantikan ini dan akan terus memelihara kedaulatan Institusi Raja-Raja Melayu," katanya.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X