Khamis, 7 Jun 2018 | 10:29pm

Fokus siap siaga maritim pertahan kedaulatan negara - Mat Sabu

SHAH ALAM: Kementerian Pertahanan akan memfokuskan kesiapsiagaan maritim dengan memperkasa Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) demi menjaga kedaulatan tanah air.

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata perkara itu antara isu yang dibincangkan ketika beliau menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Yang Dipertua Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di Istana Bukit Kayangan, hari ini.

Mohamad berkata, peranan TLDM begitu penting dalam suasana sekarang dan akan datang berikutan Malaysia mempunyai perairan maritim yang luas antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung.


Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bersalam dan beramah mesra dengan anggota selepas selamat mendarat dengan menaiki helikopter Super Lynx bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Kapal DiRaja KD Mahawangsa di atas Kapal KD Mahawangsa . - Foto Roslin Mat Tahir

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu melihat peralatan di anjung kapal KD Mahawangsa ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Tentera Laut DiRaja Malaysia (LTDM) Kapal DiRaja KD Mahawangsa di atas Kapal KD Mahawangsa. Turut hadir Panglima Tentera Laut DiRaja Malaysia, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (empat dari kanan). - Foto Roslin Mat Tahir

"(TLDM) mesti diperhebat dan diperkuatkan kerana dahulu hasil negara hanya di darat tetapi sekarang hasil negara berada di laut seperti pelantar minyak di Laut China Selatan.

"Laut China Selatan menjadi pertarungan kuasa besar. Jadi Malaysia hendaklah mainkan peranan dan berada dalam siap siaga, bukan untuk perang tetapi demi kedaulatan tanah air kita," katanya kepada pemberita selepas selesai menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, di sini, hari ini.

Yang turut sama ialah Panglima Tentera Laut, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.


Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menyenduk makanan kepada anggota ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama warga Tentera laut DiRaja Malaysia (LTDM) KD Mahawangasa. Turut hadir Panglima Tentera Laut DiRaja Malaysia, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (kanan). - Foto Roslin Mat Tahir

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bersama Warga Tentera Laut DiRaja Malaysia (LTDM) Kapal DiRaja KD Mahawangsa melakukan solat magharib berjemaah di atas Kapal KD Mahawangsa selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama warga Tentera laut DiRaja Malaysia (LTDM) KD Mahawangasa. Turut hadir Panglima Tentera Laut DiRaja Malaysia, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin (empat dari kanan). - Foto Roslin Mat Tahir

Pertemuan hari ini adalah yang pertama membabitkan Mohamad dengan Sultan Selangor.

Mohamad berkata, Malaysia akan tetap menekankan dan pertahankan konsep dasar Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) yang dibawa bekas Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein.

"Kita tidak mahu konflik yang berlaku di Asia Barat, iaitu antara kuasa besar dibawa ke sini. Jadi konsep ZOPFAN akan terus ditekankan untuk Malaysia menjadi negara berkecuali," katanya.

Dalam pertemuan kira-kira satu jam itu, beliau berkata, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan memberi nasihat dari aspek peralatan tentera laut.

Katanya, baginda bertitah segala peralatan itu perlu dipertahankan dan berada dalam kesiapsiagaan setiap masa.

"Pembelian peralatan juga harus sesuai dengan kehendak angkatan laut yang sama dengan dunia antarabangsa," katanya.

Sementara itu, bercakap kepada pemberita selepas melawat kapal KD Mahawangsa sambil berlayar di sekitar perairan Selangor, di sini hari ini, Mohamad berkata kehadiran kapal perang negara asing di perairan Laut China Selatan 'tidak baik' untuk keamanan rantau Asia Tenggara kerana dikhuatiri mampu menimbulkan konflik ketenteraan.

Beliau berkata mana-mana pihak sepatutnya menghormati negara-negara di perairan itu termasuk Malaysia, yang selama ini mengamalkan pendirian berkecuali.

"Semasa menghadiri Dialog Shangri-La (edisi ke-17 di Singapura baru-baru ini) yang dihadiri menteri pertahanan pelbagai negara, saya membangkitkan dan menegaskan bahawa Malaysia terus berjuang untuk menjadi sebuah negara berkecuali sejak zaman perdana menteri kedua lagi.

"Malaysia ada kepentingan ekonomi yang besar di perairan negara dalam Laut China Selatan iaitu perikanan dan minyak. Disebabkan itu, kita mahu laut tersebut aman sampai bila-bila," katanya.

Selepas lawatan berkenaan, Ahli Parlimen Kota Raja itu berbuka puasa bersama-sama 186 anak kapal di atas KD Mahawangsa dan beramah mesra dengan mereka selain mengedarkan bingkisan Aidilfitri.

Mohamad turut memuji kegigihan angkatan berkenaan yang bekerja keras menjaga kedaulatan perairan negara walaupun akan menyambut Aidilfitiri minggu depan tanpa keluarga di sisi.

Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung Kementerian Pertahanan yang pertama akan diaudit Jawatankuasa Siasatan Khas isu-isu tadbir urus, perolehan dan kewangan negara, Mohamad berkata: "Terserah kepada jawatankuasa itu. Kita bersedia."

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bersama Panglima Tentera Laut DiRaja Malaysia, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menaiki helikopter Super Lynx selamat mendarat bagi menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Kapal DiRaja KD Mahawangsa di atas Kapal KD Mahawangsa . - Foto Roslin Mat Tahir
Berita Harian X