Jumaat, 8 Jun 2018 | 4:39pm
PENGERUSI MPM, Prof Datuk Dr Hasan Mad. - Foto Syarafiq Abd Samad

Syor tubuh 'Majlis Privi' untuk Agong, Istana - MPM

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Melayu (MPM) mencadangkan penubuhan satu jawatankuasa khas panel penasihat kepada Institusi Diraja yang menjalankan tugas seperti Privy Council kepada Istana Buckingham.

Pengerusi MPM, Prof Datuk Dr Hasan Mad, berkata jawatankuasa berkenaan akan berfungsi sebagai panel penasihat rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong dan Istana membabitkan kepentingan, kedaulatan Melayu, Islam serta Institusi Raja-Raja Melayu.

Beliau yang juga bekas penyandang pertama Kursi Institusi Raja-raja Melayu (Kursi), Universiti Teknologi MARA (UiTM) berkata, jawatankuasa dibentuk akan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti guaman, agama, keselamatan dan teknologi.

"Panel penasihat kepada Institusi Diraja disyorkan dianggotai negarawan dihormati masyarakat yang boleh menasihatkan, menyuarakan pandangan, pertimbangan adil serta pengalaman mereka kepada Agong.

"Mereka boleh dilantik daripada kalangan bekas Ketua Polis Negara, bekas Ketua Hakim Negara, bekas Panglima Angkatan Tentera, bekas Ketua Pengarah Pendidikan atau Mufti, mengikut kepakaran masing-masing.

"Mereka (jawatankuasa) bukan hanya Melayu, Islam tetapi boleh dianggotai pakar daripada etnik di Sabah, Sarawak yang boleh berkongsi idea serta kepakaran bagi menjaga hak keistimewaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasan menegaskan tugas jawatankuasa panel penasihat tidak akan bertindih dengan fungsi Majlis Raja-Raja, yang dianggotai sembilan Raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri.

Katanya, Majlis Raja-Raja adalah mesyuarat tertinggi dan kuasa tertinggi dalam hal ehwal Islam yang akan membincangkan dasar negara, pelantikan Agong atau Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

"(Contoh) Dalam pelantikan Peguam Negara, Agong menerima nasihat secara 'adhoc' daripada syarikat guaman.

"(Jadi) Melalui jawatankuasa ini, Agong dan Istana boleh mendapatkan nasihat rasmi isu membabitkan perlembagaan pada bila-bila masa dengan terperinci daripada pakar dilantik," katanya.

Dalam perkembangan sama, Biro Perlembagaan MPM akan memainkan peranan menerangkan isu kontroversi termasuk lantikan utama jawatan negara menggunakan terma 'layman' kepada rakyat.

Katanya, empat pakar akan terbabit antaranya Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat bagi Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Azril Mohd Amin.

"Mereka ditugaskan untuk meneliti prosedur pelantikan jawatan kanan dalam negara supaya proses pelantikan itu dapat diterangkan secara jelas dan dapat difahami rakyat.

"Rakyat marah bila tahu penyerahan watikah Perdana Menteri (PM) lambat diadakan. Rakyat juga marah bila Istana lambat perkenan pelantikan Peguam Baharu.

"Walhal (proses) ini mengikut prosedur dan undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan. Istana juga menggunakan budi bicara dan perlukan masa untuk adakan asas perbincangan kukuh untuk menerima atau menolak sesuatu lantikan. (Ini) yang akan kita terangkan pada rakyat," katanya.

62 dibaca
Berita Harian X