Sabtu, 9 Jun 2018 | 3:37pm
NAIB Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye. - Foto Owee Ah Chun

Tangani dadah perlu strategi - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Strategi pencegahan yang komprehensif pada peringkat kebangsaan diperlukan dalam usaha menangani masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja dan belia di negara ini.

Naib Pengerusi Kanan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata ia perlu membabitkan penyertaan keseluruhan masyarakat termasuk komuniti rumah, masyarakat dan tempat kerja.

Katanya, ia juga perlu dipergiatkan jika negara ingin memastikan masalah dadah tidak bertambah buruk.

"Memerangi dadah memerlukan kerjasama kerajaan dengan badan bukan kerajaan (NGO), badan sukarela dan pertubuhan agama serta ibu bapa.

"Kita mungkin boleh menarik nafas lega apabila statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menunjukkan jumlah penagih dadah dikesan secara keseluruhan menurun 16 peratus pada tahun lalu berbanding 2016.

"Jumlah penagih baharu dikesan pada tahun 2017 menurun 19.6 peratus, manakala penagih berulang pula merosot 5.5 peratus, tetapi kita masih memerlukan hasil lebih baik berikutan kerajaan memperuntukkan beratus juta ringgit bagi memerangi ancaman dadah yang hingga kini masih belum menemui jalan penyelesaiannya.

"Malah, sejak tiga dekad lalu, penagihan dadah menjadi masalah nombor satu Malaysia terutama dalam kalangan individu berusia antara 15 hingga 40 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan berkenaan susulan kebimbangan dizahirkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, baru-baru ini, berhubung masalah gejala dadah terutama dalam kalangan belia yang menunjukkan seriusnya masalah berkenaan.

Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) yang juga Setiausaha Lembaga Pengampunan Negeri Selangor, Zamani Ahmad Mansor, berkata baginda selaku Pengerusi Lembaga Pengampunan Negeri Selangor mendapati bilangan kes jenayah pengedaran dadah membabitkan golongan paling tinggi dibawa kepada lembaga itu.

Ia disokong dengan laporan AADK mendedahkan ujian air kencing dijalankan mendapati seramai 1,829 daripada 370,285 pelajar dari 178 sekolah disahkan positif dadah.

Lam Thye, berkata kegusaran Sultan Sharafuddin itu amat berasas kerana masalah dadah, memberi implikasi negatif kepada golongan muda di Selangor.

"Usaha kerajaan menjadi negara bebas dadah sangat dialu-alukan, tetapi untuk mencapainya memerlukan komitmen, iltizam politik dan penyertaan sepenuhnya oleh seluruh lapisan masyarakat termasuk ibu bapa serta guru.

"Statistik polis menunjukkan 30 hingga 40 peratus penagih dadah terbabit jenayah dan statistik AADK pula menunjukkan kumpulan usia 15 hingga 40 tahun merangkumi 80 peratus penagih dadah di negara ini," katanya.

Selari dengan tema sambutan Hari Antidadah Kebangsaan ke-35 tahun ini iaitu 'Komuniti Kita Tanggungjawab Kita', Lam Thye turut menyarankan golongan belia dan remaja belajar menangani tekanan hidup tanpa mengambil dadah.

Beliau berkata, antaranya mereka perlu bijak menangkis pengaruh rakan sebaya yang cuba menarik mereka melakukan perkara salah, tidak baik dan boleh membinasakan diri.

"Pendidikan bahaya dadah dan penagihan melalui seminar, bengkel, bahan bacaan serta penerbitan berkaitan perlu diperbanyakkan, malah mereka seharusnya menyebarkan maklumat bahaya dadah kepada rakan sebaya," katanya.

Berita Harian X