Rabu, 13 Jun 2018 | 1:34pm

Lebuh raya utama mula sesak

KUALA LUMPUR: Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara mengalami kesesakan teruk sepanjang 17 kilometer selepas sebuah lori tangki terbalik dan menghalang laluan di lorong kanan.

Sehingga jam 12.45 tengah hari tadi, pihak PLUS masih menjalankan kerja mengalihkan lori tangki terbabit dan menutup dua lorong daripada dilalui kenderaan.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia berkata, satu laluan kontra juga sudah dibuka bagi mengurangkan kesesakan selepas kebanyakan laluan keluar dari ibu kota mencatatkan pertambahan kenderaan susulan orang ramai yang mula pulang ke kampung sempena Aidilfitri.

"Selain itu, setakat jam 12.45 tengah hari, keadaan trafik dilaporkan mula sesak dari Slim River ke Sungkai, Bidor ke Tapah, Tapah ke Gopeng dan selepas Terowong Menora menghala ke Sungai Perak.

"Sementara aliran trafik perlahan dilaporkan di Changkat Jering sehingga Bukit Merah, trafik lancar selepas Bukit Merah," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata keadaan trafik di semua laluan selatan pula masih terkawal dan lancar setakat ini.

"Hala Pantai Timur pula, trafik dilaporkan perlahan selepas Plaza Tol Gombak menghala ke Genting Sempah dan Bukit Tinggi ke Lentang, trafik dilaporkan lancar selepas Lentang dan kembali sesak di Plaza Tol Kuala Terengganu.

"Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik," katanya.

35 dibaca
ALIRAN trafik bergerak perlahan Kilometer 93 kira-kira 11 pagi tadi di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berikutan orang ramai pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. - Foto Ihsan JPJ
Berita Harian X