Khamis, 14 Jun 2018 | 2:19pm
PROF Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Iklankan kekosongan jawatan Pengerusi SPR

KUALA LUMPUR: Seorang ahli Jawatankuasa Pembaharuan Institusi mencadangkan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diiklankan secara terbuka untuk dimohon jika berlaku kekosongan jawatan.

Prof Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi, berkata Jawatankuasa Parlimen akan menemuduga calon yang memohon mengisi jawatan itu bagi dinilai tahap kemampuannya.

"Cadangan ini dilihat lebih praktikal untuk dilaksanakan kerana ia akan membolehkan sesiapa saja yang fikir dirinya layak mengisi jawatan itu untuk membuat permohonan.

"Ia lebih bebas dan telus. Jawatankuasa Parlimen akan melantik Pengerusi SPR selepas menilai dan menyaring calon yang berminat memohon jawatan itu apabila berlaku kekosongan.

"Ia sebahagian daripada idea yang sesuai dilaksanakan jika kita mahu melakukan pembaharuan kepada institusi penting negara seperti SPR," katanya kepada NSTP, hari ini.

Perkhidmatan Pengerusi SPR ketika ini, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dipendekkan berkuat kuasa 1 Julai ini, sekali gus pelantikan baharu perlu dilakukan bagi mengisi kekosongan jawatan itu sekali gus menimbulkan teka teki siapa bakal menggantikan tempatnya.

Pakatan Harapan (PH) dalam manifestonya menetapkan jawatan penting seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pengerusi SPR dipilih oleh Jawatankuasa Parlimen.

Shad Saleem berkata, soal siapa yang bakal dilantik menggantikan Hashim tidak timbul, sebaliknya individu yang dipilih itu mesti dinilai Jawatankuasa Parlimen.

"Seperti di Amerika Syarikat (AS). Jawatankuasa Kongres akan menilai dan menyaring individu dinamakan Presiden sama ada individu terbabit layak atau tidak mengetuai sesuatu institusi," katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat SPR, Mohd Sabri Abdullah, berkata pelantikan Pengerusi SPR perlu diperkenan Majlis Raja-raja selepas Perdana Menteri mencadangkan nama individu yang sesuai.

"Tetapi dalam manifesto PH, Pengerusi SPR akan dipilih oleh Jawatankuasa Parlimen. Dalam amalan sebelum ini, Pengerusi tidak semestinya Ahli SPR tetapi dalam kalangan bekas pegawai tinggi kerajaan.

"Bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dulu adalah pegawai sudah bersara dari Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya.

12 dibaca
Berita Harian X